Tambahan Masa Pengemukaan Borang Cukai Sehingga 31 Julai 2021 Bagi Mereka Yang Menjalankan Perniagaan (Tahun Taksiran 2020)

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa tambahan masa pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi kategori pembayar cukai yang menjalankan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 diberikan sehingga 31 Julai 2021.

2. Tambahan masa ini melibatkan kategori Individu, Individu Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan / Berkepakaran), Individu Bukan Pemastautin, Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), Perkongsian, Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.

3. Inisiatif ini diambil selaras dengan usaha kerajaan meringankan beban pembayar cukai setelah mengambil kira kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengemukakan BNCP berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘Total Lockdown’. Pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan pengemukaan BNCP.

4. Bagi kategori Syarikat, Perkongsian Liabiliti Terhad, Unit Amanah / Amanah Harta Tanah, Koperasi, Badan Amanah, Amanah Pelaburan Harta Tanah / Tabung Amanah Harta dan Amanah Perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 dan Tahun Taksiran 2021, tambahan masa akan dikekalkan seperti yang dinyatakan pada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021. Program Memfail Borang Nyata ini boleh dicapai dan dimuat turun menerusi www.hasil.gov.my > Borang > Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.

5. Pembayar cukai juga boleh merujuk Soalan Lazim Berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (Frequently Asked Questions – FAQ) berkaitan perkara ini dan lain-lain urusan percukaian. FAQ ini boleh dicapai melalui pautan berikut:
i. Versi Bahasa Melayu:
http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf
ii. Versi Bahasa Inggeris:
http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf

6. Sebarang pertanyaan atau maklum balas mengenai perkara ini boleh diajukan kepada LHDNM melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-MY/

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI