Boustead Sedia RM18 Juta Bantu Syarikat Dan Peniaga

Boustead Properties Berhad (Boustead Properties), anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), menawarkan pengecualian dan rebat sewa, selain bantuan komersial dan lain-lain sokongan berjumlah kira-kira RM18 juta kepada hampir 350 penyewa di enam hartanah komersialnya di seluruh negara, bagi membantu menangani kesan ekonomi teruk akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif tersebut diberikan kepada peniaga dan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bermungkinan mengalami masalah aliran tunai ketika mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Boustead Properties, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, “Sepanjang PKP 1.0 dan 2.0, tawaran pengecualian dan rebat sewa yang diberikan oleh Boustead Properties telah membantu penyewa dalam pelbagai kategori perniagaan serta perkhidmatan yang penting dan kritikal.”

Menyedari akan sektor peruncitan adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik, inisiatif Boustead Properties ini telah membolehkan syarikat dan para peniaga terus beroperasi dan membawa manfaat kepada penyewa dan juga pembeli. Di the Curve dan Curve NX, penyewa terdiri daripada pengusaha gerai, kedai serbaneka, fesyen dan aksesori, pusat didik hibur, pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat bahasa, kedai makanan dan minuman, pusat penjagaan kesihatan, farmasi, klinik gigi dan perkhidmatan kewangan.

Dato’ Seri Mohamed Khaled yang juga merupakan Pengerusi BHB berkata, “Dalam suasana yang luar biasa ini, ada yang menghadapi cabaran lebih besar berbanding yang lain. Kami memahami keperluan kitaran penuh komuniti perniagaan kami dan membuat keputusan bahawa sekarang adalah masa yang tepat dan penting untuk membantu penyewa yang kami juga anggap sebagai rakan niaga strategik, sekaligus dapat melindungi kebajikan pekerja mereka.

“Kami juga mahu memastikan kami dapat membantu PKS tempatan yang lebih kecil, dan juga rakyat Malaysia termasuk pengendali gerai makanan, pasar jalanan dan gerai penjaja di pusat beli-belah ini,” katanya.

Dato’ Seri Mohamed Khaled menambah bahawa inisiatif ihsan ini, yang sejajar dengan nilai-nilai kelestarian Boustead Properties, telah membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para penyewa akibat pandemik dan menggalakkan kesinambungan perniagaan.

Beliau berkata kumpulan pelaburan dan pemaju hartanah pemenang anugerah itu sedar bahawa dalam suasana paling sukar ini, Boustead Properties perlu merangka semula strategi perniagaan menerusi pendekatan yang lebih empati dan mengambil langkah-langkah yang menjamin kelestarian.

Bagi bangunan komersial milik Boustead Properties, tawaran pengecualian dan rebat sewa juga telah membantu meringankan beban penyewa di Menara Boustead, Menara Boustead Pulau Pinang, Wisma Boustead dan Nucleus Tower. Para penyewa terdiri daripada syarikat-syarikat yang menyediakan khidmat guaman, pengurusan aset kewangan, insurans, perdagangan, pelancongan, telekomunikasi, kejuruteraan, pengiklanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan jualan serta kedai makan, PKS dan agensi kerajaan.

Dato’ Seri Mohamed Khaled seterusnya berkata, “Beban ini seharusnya dipikul bersama. Kumpulan akan melakukan apa yang mampu untuk mengurangkan kesan pandemik sementara menantikan pembukaan semula ekonomi dan fasa pemulihan. Usaha ini sejajar dengan strategi ‘Reinventing Boustead’ kerana kami yakin inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan untuk meningkatkan kelestarian, yang bukan sahaja menjadi pemangkin bagi mencapai pertumbuhan perniagaan kami pada masa depan, tetapi juga demi manfaat rakan-rakan niaga dan negara secara keseluruhannya.”

Mengenai Boustead Properties Berhad

Boustead Properties Berhad (“Boustead Properties” atau “Syarikat”) adalah sebahagian daripada Boustead Holdings Berhad, salah satu konglomerat tertua di Malaysia. Perniagaan teras Boustead Properties adalah pembangunan hartanah, pengurusan hartanah, peruncitan dan pelaburan. Syarikat adalah pemaju utama perbandaran Mutiara Damansara dan terkenal di Skudai, Johor melalui pembangunan kediaman campurannya, Mutiara Rini.

Boustead Properties kini sedang membangunkan One Cochrane Residences yang terletak di daerah Cheras di Kuala Lumpur dan sedang melaksanakan pembangunan unggul seluas 1,200 ekar, Mutiara Hills di Semenyih. Boustead Properties membangunkan dan memiliki Curve, pusat membeli-belah mesra pejalan kaki pertama di Malaysia yang terletak di Mutiara Damansara.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.