Boustead Properties Taja 5,000 Bungkusan Makanan Kepada Petugas Barisan Hadapan

Memandangkan pandemik koronavirus terus menjejaskan kehidupan, Boustead Properties Berhad (Boustead Properties) kekal teguh dalam komitmennya untuk terus memberikan bantuan kepada golongan memerlukan dan rakyat Malaysia. Kali ini, Boustead Properties menyumbangkan makanan berkhasiat di bawah inisiatif #BousteadCares kepada para petugas kesihatan yang tidak mengenal erti penat lelah menjaga pesakit Covid-19.

Pemaju hartanah ini memenuhi keperluan makanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Ampang, dan Hospital Sungai Buloh dengan menaja 5,000 bungkusan makanan tengah hari untuk para petugas kesihatan di wad dan unit rawatan rapi Covid-19. Inisiatif tanggungjawab sosial korporat selama sebulan ini dikendalikan atas kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Beyond Borders Malaysia bermula 14 Jun 2021, dengan mengagihkan sajian berkhasiat dengan kos keseluruhan berjumlah RM40,000 yang ditanggung oleh Boustead Properties.

Memandangkan jadual petugas barisan hadapan yang padat dengan menjaga bilangan pesakit yang semakin ramai, Boustead Properties berharap sajian harian ini akan memenuhi keperluan mereka untuk berehat sambil mengisi perut selain dapat mengembalikan tenaga dan menaikkan semangat mereka. Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties, Eason Phan berkata, “Inisiatif ini sejajar dengan matlamat syarikat untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang terkesan dengan pandemik. Ini adalah usaha kecil kami dalam menghargai usaha gigih petugas barisan hadapan atau frontliners yang berjuang setiap hari dengan merisikokan nyawa mereka demi negara. Dengan membekalkan sajian berkhasiat terus kepada mereka, kami berharap ini akan sedikit sebanyak mudahkan urusan mereka.”

Beliau menambah, “Usaha melandaikan lengkung dan menamatkan pandemik adalah tanggungjawab bersama di mana setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing. Syarikat kami akan terus berusaha untuk menyokong Kerajaan dalam usaha-usaha untuk membantu negara menempuhi masa yang sukar ini.”

Menurut Beyond Borders yang berpangkalan di Kuala Lumpur, makanan seimbang yang disumbangkan itu disediakan oleh ibu tunggal dan rakan-rakan sekerja mereka. Makanan-makanan tersebut akan dihantar ke hospital setiap hari oleh para sukarelawan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Pengasasnya Mahi Ramakrishnan berkata, “Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan entiti korporat yang prihatin seperti Boustead Properties dan memuji sikap mengambil berat yang mereka tunjukkan. Terdapat kekurangan sajian sedia dimakan untuk petugas penjagaan kesihatan kita dan disebabkan ini, ramai yang terlepas waktu makan kerana kesuntukan masa. Menerusi sumbangan seperti ini daripada sektor korporat, kami boleh terus menyokong keperluan harian mereka.”

Eason juga menambah, “Kami gembira kerana turut dapat membekalkan makanan kepada Hospital Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan kami atas khidmat penjagaan yang sangat baik yang diberikan kepada tiga kakitangan kami yang baru-baru ini dimasukan ke hospital kerana Covid-19 dan kini sudah pulih sepenuhnya.”

Inisiatif penajaan makanan Boustead Properties ini dijalankan sejurus selepas inisiatif lain yang juga berkaitan dengan pandemik dilaksanakan di mana bantuan kewangan dan pertolongan lain telah diberikan kepada rakan niaga dan para peruncit pada fasa-fasa perintah kawalan pergerakan yang terdahulu.

Mengenai Boustead Properties Berhad

Boustead Properties Berhad (“Boustead Properties” atau “Syarikat”) adalah sebahagian daripada Boustead Holdings Berhad, salah satu konglomerat tertua di Malaysia. Perniagaan teras Boustead Properties adalah pembangunan hartanah, pengurusan hartanah, peruncitan dan pelaburan. Syarikat adalah pemaju utama perbandaran Mutiara Damansara dan terkenal di Skudai, Johor melalui pembangunan kediaman campurannya, Mutiara Rini.

Boustead Properties kini sedang membangunkan One Cochrane Residences yang terletak di daerah Cheras di Kuala Lumpur dan sedang melaksanakan pembangunan unggul seluas 1,200 ekar, Mutiara Hills di Semenyih. Boustead Properties membangunkan dan memiliki Curve, pusat membeli-belah mesra pejalan kaki pertama di Malaysia yang terletak di Mutiara Damansara.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.