Laporan Kredit CTOS Percuma Tersedia Di Seluruh Negara

CTOS Data Systems Sdn Bhd, agensi pelapor kredit terulung Malaysia, hari ini mengumumkan tawaran laporan MyCTOS percuma dengan CCRIS bagi pengguna selaras dengan kempen pemerkasaan kewangan ke seluruh negara.

Menurut kajian CTOS, sejak tempoh 12 bulan lepas terdapat peningkatan sebanyak 52% pengguna mengakses laporan kredit CTOS mereka, dan menurut suatu kaji selidik baru-baru ini pula sebanyak 57% pengguna menyemak kedudukan kredit mereka lantaran masalah kewangan disebabkan pandemik. “Covid-19 dan ketidakpastian yang dicetuskannya telah mendedahkan betapa perlu dan mendesaknya bagi masyarakat Malaysia untuk mengawal kesihatan kewangan mereka. Akan tetapi, berdasarkan data CTOS, pada masa ini hanya kira-kira 1.3 juta daripada kira-kira 15 juta penduduk yang bekerja di Malaysia melakukan semakan kendiri untuk mengakses dan menguruskan maklumat kredit peribadi masing-masing. Untuk menggalakkan lebih ramai mengambil langkah pertama menguruskan kesihatan kewangan mereka, pihak CTOS melancarkan laporan MYCTOS percuma bersama CCRIS bagi kempen pengguna, selaras dengan usaha pemerkasaan kewangan ke seluruh negara,” kata Eric Chin, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd.

Laporan kredit peribadi CTOS memuatkan maklumat terperinci mengenai hutang-piutang, sejarah akaun bagi kad kredit dan pinjaman seseorang serta sejarah pembayaran, termasuk apa-apa pembayaran lewat, had kredit atau amaun pinjaman, baki akaun dan pertanyaan kredit. Kes guaman dan kes kemuflisan turut dilampirkan dalam bahagian berasingan, serta juga senarai pemegang jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan.

Bank-bank dan syarikat-syarikat pemberi pinjaman yang lain menggunakan maklumat ini untuk proses penilaian kredit sebelum meluluskan permohonan kredit seperti kad kredit dan pinjaman. Peri pentingnya mempunyai laporan kredit yang baik bukan sahaja terhad kepada produk kewangan sahaja. Bakal pemilik hartanah juga ingin menyemak laporan kredit pemohon sebelum membuat keputusan untuk menyewakan hartanah mereka atau tidak. Bahkan ada majikan yang menyemak laporan kredit untuk proses permohonan kerja.

“CTOS berhasrat memperkasa seberapa ramai mungkin individu dengan alat-alat serta ilmu pengetahuan supaya dapat membuat keputusan kewangan yang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan masa yang amat mencabar ini. Betapa pentingnya kita mempunyai kejelasan dan pemahaman tentang kedudukan kewangan supaya dapat mencapai matlamat kewangan yang diingini. Menyemak laporan kredit MyCTOS adalah langkah pertama ke arah pencapaian matlamat itu,” ujar Chin.

Laporan MyCTOS percuma bersama kempen CCRIS ini tersedia menerusi www.ctoscredit.com.my selaras dengan inisiatif CTOSCARES sehingga 31 Julai 2021.

TENTANG CTOS DATA SYSTEMS SDN BHD

CTOS Data Systems Sdn Bhd ialah agensi pelaporan kredit terkemuka di Malaysia, yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang dibangunkan di Malaysia sepanjang 30 tahun sejarahnya. Syarikat menyediakan maklumat kredit dan penyelesaian analitis untuk perniagaan dan pengguna terutamanya di Malaysia pada setiap peringkat kitaran gaya hidup pelanggan. CTOS menyediakan penyelesaian digital kepada lebih 100 bank dan badan korporat terkemuka Malaysia dan hampir 17,000 perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) meliputi hampir semua industri, termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, peruncitan, automotif, utiliti, pembrokeran, pengangkutan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan insurans.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ctoscredit.com.my

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.