Lazada Lancar Pembayaran Semasa Penghantaran Tanpa Tunai Melalui DuitNow QR Semasa PKPD

Memandangkan rakyat Malaysia lebih kerap membeli barangan keperluan harian dalam talian, Lazada kini menyediakan kemudahan tambahan kepada pembeli menerusi pilihan pembayaran semasa penghantaran tanpa tunai di seluruh negara. Pengguna hanya perlu klik ‘DuitNow’ di halaman pembayaran ‘cash on delivery’ (tunai semasa terima) di Lazada, kemudian mengimbas kod QR pembelian mereka untuk membayar secara digital apabila pesanan diterima.

Pilihan pembayaran baharu ini bukan sahaja memberikan tahap keselamatan lebih tinggi kepada pengguna untuk mengamalkan penjarakan fizikal, tetapi turut memberikan ketenangan bagi pelanggan yang ingin membayar apabila produk telah diterima.

“Ketika negara sedang terus berusaha untuk menyekat penyebaran COVID-19, terutamanya dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, kebanyakan rakyat Malaysia hari ini sudah biasa menggunakan kemudahan eDagang untuk mendapatkan barangan runcit dan keperluan harian.  Namun, bagi mereka yang masih baharu atau tidak pasti tentang pembelian dalam talian, pilihan untuk membayar apabila pesanan tiba akan membolehkan pengguna  rasa lebih yakin dan terlindung,” kata Rick Ting, Ketua Pertumbuhan Pengguna, Lazada Malaysia.

Rick menambah bahawa: “Membolehkan pembayaran semasa penghantaran menerusi DuitNow QR akan memperkuatkan kepercayaan pengguna terhadap transaksi digital, mengukuhkan tahap keselamatan pengguna, dan memudahkan pembeli untuk menyertai perdagangan digital. Alternatif pembayaran baharu ini dipacu oleh ekosistem rakan bank dan eDompet di Lazada yang menawarkan kemudahan DuitNow QR. Mulai hari ini, semua kakitangan penghantaran Lazada Express (LEX) kami di seluruh negara akan dilengkapi dengan kod DuitNow QR yang boleh diimbas dengan mudah oleh pelanggan apabila pesanan sampai di halaman rumah.”

Pembayaran DuitNow QR semasa penghantaran di platform Lazada buat masa ini hanya disediakan bagi produk yang dihantar oleh LEX. Pelanggan boleh memilih daripada mana-mana penyedia pembayaran digital yang menawarkan DuitNow QR, seperti aplikasi MAE oleh Maybank, untuk membayar dengan mengimbas kod QR apabila menerima penghantaran. Selepas pembayaran disempurnakan, aplikasi Lazada akan secara automatik dikemas kini untuk menyediakan pengalaman transaksi yang lancar.

Sempena pelancaran kemudahan ini, pengguna Lazada boleh menikmati diskaun* RM5 dengan perbelanjaan minimum RM30 (kod promo:LAZCOD5) apabila mereka membuat pembayaran pertama melalui DuitNow QR dengan menggunakan ciri ‘Scan & Pay’ (Imbas dan Bayar) dalam aplikasi MAE oleh Maybank.

Semua rakyat Malaysia digalakkan untuk membeli-belah dengan selamat dari rumah di Lazada untuk barangan keperluan harian dan barangan runcit pada saat-saat penting ini, sambil menikmati khidmat penghantaran pantas, diskaun hebat, dan baucar Penghantaran Percuma yang ditawarkan di laman ‘Shop From Home’ di sini (https://lzd.co/MalaysiaShopFromHome).

Untuk panduan langkah demi langkah bagi pembayaran semasa penghantaran, sila kunjungi: https://lzd.co/PaymentOnDelivery

Mengenai Kumpulan Lazada

Diasaskan pada 2012, Kumpulan Lazada adalah peneraju platform eDagang di Asia Tenggara. Kami kini menjadi pemangkin untuk kemajuan di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam melalui perdagangan dan teknologi. Dengan rangkaian pembayaran dan logistik terbesar di rantau ini, Lazada kini telah menjadi sebahagian dari keperluan seharian pengguna dan kami menyasarkan untuk mencapai 300 juta pelanggan pada 2030. Sejak 2016, Lazada telah menjadi platform utama Kumpulan Alibaba, yang disokong oleh insfrastruktur teknologi terbaik dari Alibaba.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.