Permintaan Pengguna Terhadap Pembayaran Masa Nyata Meningkat Di Malaysia Berikutan Pandemik Merancakkan Pendigitalan Pembayaran

Permintaan pengguna terhadap pembayaran masa nyata sedang meningkat di Malaysia berikutan pandemik merancakkan pendigitalan pembayaran, menurut kajian baharu oleh ACI Worldwide (NASDAQ: ACIW) dan YouGov. Lebih separuh daripada pengguna (52%) di Malaysia memilih kaedah pembayaran masa nyata seperti DuitNow sebagai kaedah pembayaran pilihan pada tahun 2021, hanya ketinggalan di belakang wang tunai (62%) dan dompet digital yang memerlukan penambahan wang tunai atau kad (62%).

Peralihan kepada pembayaran masa nyata ini telah dipacu dengan pesat oleh keperluan dan pilihan pembayaran yang sentiasa berubah disebabkan oleh pandemik COVID-19. Satu pertiga (32%) daripada pengguna di Malaysia telah mengurangkan penggunaan kaedah pembayaran tradisional seperti wang tunai, kad kredit dan kad debit sejak bermulanya penularan COVID-19.  Hasilnya, hampir separuh (45%) daripada pengguna kini lebih banyak menggunakan pembayaran masa nyata berbanding dengan tempoh sebelum berlakunya pandemik.  

Berikutan perubahan teknologi yang pesat, para pengguna kini menjangkakan pengalaman mendahulukan peranti mudah-alih (mobile-first) dan masa nyata.  Namun, pembayaran sering mengalami kelewatan. Pembangunan sistem pembayaran masa nyata akan membolehkan pengguna, peniaga dan institusi kewangan untuk membayar rakan dan pengguna, menyelesaikan bil dan memindahkan wang secara serta-merta.  Walaupun wang tunai sering mewakili mod pembayaran “serta-merta”, kemunculan landasan pembayaran masa nyata membawakan konsep ini ke dalam era digital dengan tempoh penyelesaian lebih pantas, pemakluman dan penyatuan pelaporan.

“Peralihan asas dalam permintaan pengguna dan jangkaan pembayaran menampilkan cabaran kepada bank-bank, institusi kewangan dan peniaga Asia Tenggara,” kata Leslie Choo, Pengarah Urusan Asia, ACI Worldwide. “Organisasi-organisasi ini tidak mampu menangguhkan projek pemodenan mereka, meskipun COVID-19 mencetuskan cabaran. Sebaliknya, mereka boleh memacu pertumbuhan dengan menyertai ekosistem pembayaran masa nyata serantau yang sedang pesat membangun, yang akan mempertingkatkan keupayaan mereka untuk melaksanakan inovasi dan transformasi dan pada masa yang sama mengurangkan kos infrastruktur dan operasi.”

Kajian ACI Worldwide dan YouGov juga menunjukkan bagaimana para pengguna di Malaysia menjangkakan manfaat daripada penggunaan pembayaran masa nyata pada peringkat domestik diperluas merentas sempadan apabila mereka kembali melakukan perjalanan pada peringkat antarabangsa, dan juga apabila mereka membeli-belah merentas sempadan. Bagi perjalanan antarabangsa pada masa depan, pengguna telah meningkatkan jangkaan mereka terhadap ketelusan, keselamatan dan keselesaan pembayaran mereka berbanding dengan pengalaman perjalanan mereka dalam tempoh sebelum COVID-19: 

  • Hampir separuh (49%) daripada pengguna Malaysia yang melakukan perjalanan antarabangsa pada masa lalu mengharapkan penggunaan kaedah pembayaran masa nyata mereka meningkat apabila melakukan perjalanan pada masa depan. 
  • Sejumlah 70 peratus menyatakan bahawa keupayaan mereka untuk menggunakan pilihan pembayaran pilihan mereka semasa melakukan perjalanan ke luar negeri adalah lebih penting sekarang. Oleh yang demikian, satu perempat (25%) menjangkakan penggunaan kaedah pembayaran tradisional seperti wang tunai akan berkurang apabila mereka melakukan perjalanan lagi pada masa hadapan. 
  • Tiga perempat  (76%) menyatakan bahawa keselamatan pembayaran dan pencegahan penipuan kini akan menjadi lebih penting, manakala dua pertiga (67%) menyatakan bahawa ketelusan kadar pertukaran kini adalah lebih penting.    

Meskipun jumlah pengguna Malaysia yang membuat pembelian eDagang antarabangsa telah meningkat sepanjang tahun lepas, para pengguna kini mengharapkan jaminan lanjut tentang pembayaran bagi menggalakkan mereka membuat lebih pembelian pada masa hadapan:

  • Satu perempat (25%) daripada pengguna membeli-belah dengan peniaga yang berpangkalan di negara-negara Asia Tenggara lain sejak bermulanya pandemik, manakala sejumlah yang sama (23%) membeli-belah di kedai-kedai di luar Asia Tenggara.
  • Faktor paling lazim yang menggalakkan para pembeli ini untuk membeli produk dan perkhidmatan dengan lebih kerap daripada penjual antarabangsa ialah: 
    • Jaminan bahawa bayaran dan data peribadi dipindahkan dengan selamat, terjamin dan disimpan oleh penjual antarabangsa (36%)
    • Keupayaan untuk membayar menggunakan kaedah pembayaran domestik pilihan (24%)
    • Mempunyai pelbagai pilihan pembayaran berbanding dengan yang tersedia pada masa ini (24%)

“Tumpuan terhadap pemodenan pembayaran adalah penting bagi institusi kewangan yang ingin meraih kelebihan daripada trend pembayaran serantau terbesar dan paling transformatif, merangkumi kemunculan ekosistem pembayaran rentas sempadan, masa nyata,” jelas Choo. “Tanpa dihalang oleh sistem pembayaran legasi yang boleh menjejaskan inovasi dalam pasaran matang, negara-negara di Asia Tenggara boleh memanfaatkan infrastruktur pembayaran pusat yang mantap sebagai asas kepada pembayaran rentas sempadan masa nyata, yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perdagangan pada tahun-tahun yang akan datang.”

Ketahui lebih lanjut tentang pilihan pembayaran masa nyata pengguna, dan bagaimana institusi kewangan dan peniaga di Asia Tenggara boleh menjadi sedia masa nyata dalam laporan kajian penuh ACI Worldwide: Real-Time Goes Mainstream.

Metodologi:

Kajian YouGov dilaksanakan pada bulan April 2021 menurut asas perwakilan negara merentas pengguna Indonesia (2,000 pengguna), Thailand (2,000 pengguna), Singapura (1,000 pengguna), dan Malaysia (1,000).

Mengenai ACI Worldwide

ACI Worldwide ialah syarikat perisian global yang menawarkan penyelesaian pembayaran masa nyata. Pelanggan kami menggunakan penyelesaian berkesan, berskala dan terjamin kami untuk memproses dan mengurus pembayaran digital, membolehkan pembayaran omni-dagang, memapar dan memproses pembayaran bil, serta menangani penipuan dan risiko. Kami menggabungkan jejak global yang luas bersama pasukan tempatan untuk memacu transformasi pembayaran dan dagangan digital masa nyata.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.