Zurich Malaysia, Aplikasi TheNoor Beri Perlindungan Kemalangan Peribadi Percuma Untuk Rakyat Malaysia

Zurich Malaysia dan aplikasi gaya hidup Muslim TheNoor memberikan perlindungan kemalangan peribadi (PA) percuma untuk membantu rakyat Malaysia di masa yang mencabar ini.

30,000 pengguna pertama TheNoor yang membeli kad Touch ‘n Go edisi terhad TheNoor melalui aplikasi tersebut akan mendapat perlindungan percuma selama tiga bulan, di mana bulan pertama dilindungi oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich General Takaful) manakala dua bulan berikutnya oleh TheNoor.

Pelan PA ini adalah berdasarkan prinsip-prinsip Syariah yang menawarkan perlindungan menyeluruh untuk kematian akibat kemalangan, kecacatan kekal, dan pendapatan hospital. Promosi ini sah sehingga tawaran ditebus
sepenuhnya.

Pengguna boleh terus menikmati perlindungan PA oleh Zurich General
Takaful ini dengan kos yang sangat berpatutan, iaitu RM1 sebulan selepas
tempoh percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Nazrul Hisham Abdul
Hamid berkata, “Kami tekad untuk membina masa depan yang lebih cerah
untuk rakyat Malaysia. Kemajuan teknologi membolehkan kita hidup dan
belajar dengan cara yang berbeza berbanding sebelum ini, dengan
kemudahan tambahan. Inilah yang mendorong kolaborasi kami dengan
aplikasi TheNoor, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin
meningkat, dengan lebih baik. Kami mahu pengguna aplikasi mempunyai
akses mudah untuk mendapatkan perlindungan melalui produk Zurich yang sesuai dan dengan harga yang berpatutan untuk menambahbaik kehidupan mereka. Pelanggan kini dapat memperoleh perlindungan PA hanya dengan beberapa langkah melalui aplikasi tersebut.”

“TheNoor adalah aplikasi gaya hidup Muslim yang baru dilancarkan dan
kami bangga dapat bekerjasama dengan Zurich General Takaful untuk
menawarkan PA unik yang akan dihargai oleh pengguna kami. Kami telah
memudahkan cara untuk pengguna mendapatkan perlindungan secara
langsung daripada aplikasi melalui ciri baharu kami ‘TheNoorCommerce’.
Sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memohon kad Touch
‘n Go TheNoor, kami dengan senang hati memberikan dua bulan
perlindungan tambahan di atas perlindungan PA percuma bulan pertama
yang disediakan oleh Zurich General Takaful,” kata Ketua Pegawai
Eksekutif, Noor Neelofa binti Mohd Noor.

TheNoor adalah syarikat berpandukan Syariah yang bertujuan untuk
memberikan maklumat berguna untuk mempertingkatkan gaya hidup
Muslim. Ciri-ciri istimewanya adalah termasuk bacaan Al-Quran, transliterasi dan tafsiran pelbagai bahasa dalam bentuk teks dan audio, jadual solat di seluruh dunia, pencarian lokasi masjid dan arah kiblat masa nyata. Pengguna aplikasi juga layak mendapat ganjaran lain seperti tawaran istimewa atau potongan harga.

Zurich Malaysia adalah istilah rujukan kolektif bagi anak-anak syarikat Zurich Insurance Group (Zurich) yang beroperasi di Malaysia: Zurich General Insurance Malaysia Berhad, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad. Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful yang komprehensif; membantu individu dan juga pemilik perniagaan memahami dan melindungi diri, perniagaan dan juga asset mereka daripada risiko. Zurich Malaysia mempunyai rangkaian cawangan bersepadu di 40 lokasi dan juga agensi dan saluran pengedaran yang berdedikasi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelanggan. Untuk maklumat lanjut mengenai Zurich Malaysia, layari www.zurich.com.my.

Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB) adalah salah sebuah pengendali takaful am terkemuka di Malaysia. Ia merupakan ahli Zurich Insurance Group dan satu-satunya penyedia tunggal produk takaful am yang patuh syariah dalam kumpulan Zurich. Dengan kepakaran pasaran takaful lebih sedekad, ZGTMB menawarkan perlindungan takaful am yang meluas merangkumi motor, perjalanan, harta benda, kewangan dan peribadi, syarikat kecil hingga sederhana selain perlindungan risiko untuk industri besar. Bersama-sama kakitangan yang berdedikasi, tenaga kerja agensi, pengedar dan rakan niaga serta sokongan rangkaian cawangan di seluruh negara, ZGTMB komited untuk membantu para pelanggan memahami dan melindungi aset berharga dan perniagaan mereka daripada risiko. Untuk maklumat lanjut mengenai ZGTMB, layari www.zurich.com.my.

Noor Luminous Sdn Bhd adalah pemilik dan pengendali TheNoor yang
ditubuhkan pada 17 Julai 2020 oleh 3 usahawan Malaysia, iaitu Dato’ Hj Ahmad Tajuddin, Hjh Noor Neelofa Mohd bin Mohd Noor dan Hj Mohd Izzairi bin Yamin. ‘TheNoor’ didirikan untuk mendorong dan mendukung umat Islam di seluruh dunia melalui rangkaian perkhidmatan dan produk ciri luar biasa yang tiada tandingannya. ‘TheNoor’ boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple Store dan Google Store. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai ‘TheNoor’, sila lawati www.thenoor.co.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.