Energizer dan Duracell, Musuh Ketat Dalam Dunia Bateri

Sebelum wujudnya bateri ion litium di era moden ini, penggunaan bateri sel kering adalah penting di dalam dunia elektronik dan elektrik. Bateri sel kering menjadi alat yang penting bagi menghidupkan gajet seperti kamera, lampu suluh dan alat muzik seperti Walkman dan radio.

Dua syarikat yang tidak asing lagi dalam dunia bateri adalah Energizer dan Duracell. Kedua-duanyanya adalah syarikat yang menghasilkan bateri berkualiti tinggi berbanding dengan jenama lain yang ada dalam pasaran.

Sejarah Penubuhan Energizer

Energizer ditubuhkan pada tahun 1980 yang berasal dari nama Eveready Battery Company. Ianya merupakan syarikat yang menghasilkan lampu suluh terawal pada awal kurun ke-20.

Eveready kemudiannya membangunkan bateri alkali yang ketika itu bersaing dengan Duracell pada tahun 1950-an. Bateri alkali ini digelar Eveready Alkaline Battery dan pada 1980-an, syarikat ini telah mengasingkan pengeluaran bateri alkali kepada jenama Energizer.

Pada tahun 2000, syarikat ini telah menyenaraikan syarikat mereka di New York Stock Exchange (NYSE) di bawah nama Energizer Holdings.

Sejarah Penubuhan Duracell

Duracell ditubuhkan oleh seorang saintis dan ahli perniagaan pada tahun 1916. Samuel Ruben dan Philip Mallory telah bekerjasama dalam membangunkan syarikat penghasilan bateri yang dikenali sebagai P.R. Mallory Company.

Perkembangan syarikat ini bermula apabila Perang Dunia Kedua tercetus di mana pada waktu tersebut, penggunaan bateri sangat diperlukan di dalam peralatan ketenteraan. Pada tahun 1964, syarikat ini memakai nama Duracell yang membawa maksud durable cell.

Syarikat ini secara rasminya telah menggunakan nama Duracell sebagai nama syarikat mereka pada tahun 1980-an.

Suratan Atau Kebetulan?

Kredit Gambar: All About Razor

Apa yang menarik mengenai syarikat ini adalah, kedua-duanya syarikat ini pernah berada di bawah satu bumbung kepada dua lagi pesaing yang cukup terkenal iaitu syarikat yang menghasilkan pisau pencukur.

Gillette dan Schick merupakan dua syarikat gergasi yang terkenal dalam menghasilkan pisau cukur yang berkualiti tinggi. Gillette membeli Duracell dari Kohlberg Kravis Roberts pada tahun 1996 dengan harga sebanyak USD7 bilion.

Pada tahun 2003, Energizer telah membeli Schick dari Pfizer dengan harga USD930 juta. Sehingga hari ini  Schick menjadi syarikat yang berada di bawah payung Energizer manakala Duracell pula telah dijual kepada  Berkshire Hathaway pada tahun 2014.

Ramai yang mengkritik pembelian Berkshire Hathaway ke atas Duracell kerana penggunaan bateri alkali kini sudah semakin tidak relevan disebabkan lambakan bateri ion litium yang boleh digunakan berkali-kali apabila dicas.

Pembelian Duracell oleh Warren Buffett adalah dipercayai untuk mengurangkan cukai perniagaan Berkshire Hathaway.

Kes Makahmah Melibatkan Dua Syarikat Ini

Kredit Gambar: The Drum

Sudah menjadi lumrah perniagaan, apabila dua syarikat yang bersaing di antara satu sama berkemungkinan akan berakhir di mahkamah. Antara kes mahkamah yang melibatkan dua syarikat ini adalah penggunaan maskot arnab sebagai maskot rasmi.

Tidak dapat dipastikan mengapa kedua-dua syarikat in gemar menggunakan arnab sebagai maskot rasmi mereka. Duracell pertama kali menggunakan maskot arnab di dalam iklan mereka pada tahun 1970-an.

Energizer juga menggunakan maskot arnab pada akhir tahun 1980-an dan menyebabkan Duracell telah mengambil tindakan undang-undang kerana menggunakan maskot yang sama.

Akhirnya kemenangan berpihak kepada Duracell apabila mahkamah hanya membenarkan Energizer menggunakan maskot arnab untuk pasaran Amerika Syarikat dan Duracell boleh menggunakannya di seluruh dunia.

Pada tahun 2020 pula, Duracell telah membuka kertas saman terhadap Energizer kerana mendakwa bahawa bateri alkali yang dihasilkan oleh Energizer mempunyai 50 kali kanda jangka hayat berbanding dengan bateri yang lain. Duracell mendakwa itu adalah iklan yang menipu pengguna.

Sehingga hari ini , kedua-dua syarikat menguasai pasaran bateri dengan Duracell menguasai sebanyak 29% pasaran berbanding Energizer dengan 25%. Walaupun nilai pasaran semakin berkurangan, tetapi mereka berdua nampak seperti tidak mahu mengaku kalah.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA