Revenue Monster Tawar Pendigitalan Tanpa Kos Untuk PKS Melalui Kerjasama MDEC

Ketika pandemik COVID-19 terus melanda dan memberi kesan kepada perniagaan kecil dalam ekonomi tempatan, Revenue Monster, sebuah syarikat teknologi kewangan di Malaysia dengan fokus untuk meneraju pendigitalan perniagaan, menampilkan diri untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia untuk mengharungi krisis ini melalui usahasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online (SMO) – satu inisiatif di bawah Belanjawan 2021.

Melalui kempen Go-eCommerce, Revenue Monster bekerjasama dengan pemilik-pemilik PKS di Malaysia untuk mendigitalkan perniagaan mereka melalui à la carte, satu penyelesaian kedai super dalam talian yang berfungsi semua-dalam-satu, direka oleh Revenue Monster untuk membantu para peniaga agar membawa perniagaan mereka ke atas talian, memacu kelestarian perniagaan dan menjana pendapatan.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertujuan untuk memudahkan proses pendigitalan bagi perniagaan dan PKS secara khususnya, Revenue Monster berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kempen Go-eCommerce,” kata Amanda Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster. “Kami tahu waktu sekarang adalah sukar dan PKS memerlukan bantuan untuk menghadapi pandemik yang berterusan ini. Kini, perniagaan tempatan boleh mengambil peluang atas ekosistem Revenue Monster yang luas untuk menambahbaik perniagaan mereka dengan beralih ke arah digital tanpa kos.”

Perniagaan yang berdaftar dengan kempen tersebut akan menerima manfaat daripada 4 ciri-ciri utama Revenue Monster:

  • Menerima satu terminal bayaran dan bahan pemasaran secara PERCUMA*

Peniaga akan menerima satu (1) kit permulaan pembayaran tanpa sentuh secara percuma yang akan menyokong pengalaman pembayaran tanpa sentuh bagi pelanggan mereka.

  • Memiliki kedai dalam talian (à la carte)

Penyelesaian kedai super dalam talian yang direka oleh Revenue Monster akan membolehkan peniaga membuat jualan dalam talian dan menerima pesanan melalui penghantaran, pesan ambil, dan pandu lalu, di samping satu pautan peribadi ke laman sesawang kedai mereka.

  • Penyelesaian pembayaran yang lancar – Pautan Pembayaran

Membuat jualan di laman media sosial dan Whatsapp menjadi lebih mudah dengan pautan pembayaran khususnya membantu peniaga untuk mengesan kutipan bayaran melalui kemudahan pembayaran dalam talian secara percuma termasuklah pautan eInvoice dan Livepay.

  • Platform Terminals, Aplikasi Pedagang dan Portal yang boleh digunakan secara serentak

Peniaga boleh menerima pesanan di kedai à la carte melalui aplikasi pedagang atau terminal pembayaran, serta mengesan pembayaran secara tunai dan dalam talian dalam satu paparan portal.

Dalam membantu perniagaan untuk menyertai kempen Go-eCommerce, Amanda berkongsi bahawa Revenue Monster berharap untuk membantu para peniaga memperolehi pendapatan tambahan melalui kempen rebat Shop Malaysia Online (SMO) yang menawarkan rebat tunai sehingga RM85,000. Pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM35 dalam satu transaksi adalah layak untuk mendapatkan rebat segera sebanyak RM5 dengan menggunakan kod promosi: SHOP5.

Kod promosi ini boleh digunakan untuk semua peniaga à la carte dan boleh dituntut oleh pelanggan kali pertama sepanjang tempoh promosi. Untuk menebus, selepas membuat pesanan, pelanggan hanya perlu memasukkan kod promosi SHOP5 ketika membuat pembayaran untuk mendapatkan rebat segera RM5 tersebut.

“Kami ingin menggalakkan masyarakat untuk menyokong peniaga tempatan melalui kedai à la carte mereka. Kami berharap bahawa pemberian ganjaran kepada pelanggan akan menggalakkan lebih ramai lagi untuk membeli barangan tempatan dan membantu menyokong perniagaan yang memerlukan bantuan dan perhatian kita,” kata Amanda.

“Keseluruhan kempen Go-eCommerce Onboarding dijangka akan memanfaatkan 300,000 perniagaan tempatan, sesuatu yang amat diperlukan dalam industri ketika ini,” sambung Amanda. “Revenue Monster sentiasa komited untuk membantu perniagaan di Malaysia, terutamanya PKS yang mengalami kesan yang teruk daripada pandemik ini. Kami menyasarkan untuk membantu sebanyak mungkin perniagaan dan menggalakkan mereka untuk mengambil peluang sempena kempen ini untuk berdaftar dan menikmati manfaat yang kami sediakan.”

Kedua-dua kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online (SMO) kini sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2021. Daftar untuk Go-eCommerce Onboarding di Revenue Monster sekarang dengan melayari www.revenuemonster.my

Tentang Revenue Monster

Ditubuhkan pada 2018, Revenue Monster adalah sebuah syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di Malaysia. Revenue Monster memperkenalkan penyelesaian untuk membantu pendigitalan perniagaan melalui ekosistem digital sepenuhnya.

Revenue Monster menggunakan gabungan unik kaedah pembayaran, program kesetiaan dan baucar, pemasaran media sosial dan teknologi perdagangan mudah alih bagi mencipta penyelesaian yang memberikan kawalan lebih kepada peniaga yang membawa kepada peningkatan nilai perniagaan jangka panjang.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Revenue Monster sila layari www.revenuemonster.my atau ikuti @RevenueMonster di media sosial.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.