“Lepas 18 Jam Saya Dapat Hasil RM19,884.74 Yang Dijanjikan”

“Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan…Sini saya ada satu perkara yg amat penting nak berkongsi dengan kalian. Perkara ni saya pun tak sangka akan muncul dlm kehidupan saya.

Nama saya Norasitah dari Pulau Pinang. Kerja saya sebagai pekerja di butik, gaji saya sebulan hanya RM1,500. Bapa saya tak kerja sementara sebab syarikat yang bapa saya kerja dah bankrup, mak saya sebagai pelayan di kedai restoran. Pada 17 July, semasa saya dekat luar makan dengan kawan, kawan saya bagitau ada sebuah syarikat bernama Akaxia Kepital yang pakar sedia bantu trade dengan dapat pulangan hasil yang tinggi, boleh dapat mengubah kehidupan.

Syarikat ni ada satu pakej pelaburan, dalam pakej ni adalah 4 jenis pelan untuk melabur. Pelan Red, Bronze, Silver dan Diamond . Mula-mula saya juga tak percaya dunia ni takkan ada keuntungan macam ni, kerana saya tak berani lepas tu saya pilih pelan Bronze.

InsyaAllah lepas 18 jam saya dapat hasil RM19,884.74 yg dijanjikan dgn rasa amat bersyukur. Alhamdullilah… Saya share link utk berterima kasih syarikat Akaxia Kepital dan harap dapat tolong orang yang susah.

Berjaya baca contoh ayat iklan Facebook di atas sampai habis?

Selain hantu, skim cepat kaya adalah benda yang orang kita suka sangat percaya.

Sebenarnya kami terkejut kerana masih ramai rakyat Malaysia yang masih boleh dipedayakan dengan ayat iklan sebegini. Sedih juga ada. Takkan ada konsep kita kasi duit, kita duduk diam dan tiba-tiba boleh dijanjikan dapat duit semudahnya.

Kalau ada pun yang mirip tetapi sah dan dikawalselia adalah seperti pelaburan Unit Trust dan Private Mandate. Bezanya pelaburan yang sah adalah dilarang memberikan sebarang janji % atau jaminan berapa pulangan boleh dapat.

Jika anda berminat untuk membuat pelaburan, pastikan anda berurusan dengan Marketing Representative atau ejen yang sah sahaja.

Untuk Private Mandate, anda boleh membuat semakan di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Untuk Unit Trust pula, pastikan ejen tersebut mempunyai lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM).

Ditipu berkali-kali

Kami pernah berjumpa dengan mangsa scammer yang pernah ditipu berkali-kali, seolah-olah tidak serik. Mula-mula menyesal, tetapi tak lama lepas tu boleh percaya pula dengan skim baru.

Entahlah.

Orang kita memang mudah cair dengan benda-benda yang cepat.

Putih dalam masa 3 hari.

Boroi dalam masa 24 jam.

RM1,000 dalam masa sebulan / seminggu / sehari.

Ingatlah, jika disebut pulangannya dijamin dan untung yang diberi berbentuk harian, bulanan, malah paling hebat ikut jam, itu adalah signal terbesar scammer.

Sasaran penyangak sebegini adalah mereka yang kerja kerajaan kerana mudah buat personal loan. Berhati-hati. Penganjur dan ejen-ejen pengutip duit deposit ini juga bukan calang-calang orang. Jangan tertipu dengan gambar profile yang dah sah-sah gambar orang lain.

Come on rakyat Malaysia, you can do better than this.

Duit i-Citra anda bukanlah untuk dileburkan.

Jika nampak iklan-iklan sebegini, jangan teraga-agak untuk melaporkan akaun Facebook tersebut sebagai scam/fraud.

Tingkatkan ilmu agar tidak mudah ditipu. Kami dah tulis banyak artikel tentang pelaburan yang sah di Malaysia. Boleh baca di sini.

Baca juga Kompilasi Ayat Penyedap Hati Terbaru Geng-Geng Skim Cepat Kaya

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.