Blackstone, Syarikat Pelaburan Wall Street Yang Mempunyai Pemilikan Hartanah Terbesar Di Dunia

Wall Street merupakan pasaran saham yang terbesar di dunia. Disebabkan perkara ini, Wall Street telah melahirkan ramai pengurus wang yang mempunyai kemahiran yang sangat tinggi dalam menguruskan dana pelaburan dengan jumlah yang sangat besar.

Di antara salah seorang pelabur yang kurang popular yang berjaya menguruskan wang pelaburan berprofil yang tinggi adalah Stephen Schwarzman yang merupakan CEO kepada private equity yang terkenal di Wall Street.

Stephen Allen Schwarzman mungkin tidak sepopular Ray Dalio atau Warren Buffett dalam dunia pelaburan, tetapi beliau merupakan salah seorang tokoh yang disegani. Syarikat pelaburan beliau mempunyai sebanyak USD684 bilion aset di bawah pengurusan.

Beliau merupakan pengasas syarikat pelaburan terkenal di Wall Street iaitu Blackstone. Syarikat ini berjaya meraih keuntungan yang luar biasa setiap tahun sejak penubuhannya.

Asal-Usul Stephen Schwarzman

Stephen Schwarzman merupakan seorang pelajar pintar dan aktif dalam bidang sukan. Beliau dilahirkan dalam keluarga pertengahan di mana bapanya merupakan seorang penjual perabot terkenal di tempat mereka.

Sejak kecil lagi Stephen Schwarzman telah terdedah dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Jadi tidak hairanlah beliau sangat berminat dengan dunia keusahawanan.

Beliau berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Yale dan kemudian memasuki Harvard Business School. Selain mempunyai kepintaran dalam bidang akedemik, beliau juga merupakan seorang atlet pelari pecut dan pernah mewakili daerah dalam sukan tersebut.

Selepas menamatkan pengajian di Harvard Business School, Stephen Schwarzman telah bekerja di sebuah syarikat pelaburan yang terkenal pada ketika itu iaitu Lehman Brothers. Pengalaman bekerja di syarikat Lehman Brothers sangat bermakna untuk kerjaya Stephen Schwarzman.

Ketika berusia 31 tahun, beliau telah dilantik menjadi seorang eksekutif di jabatan mergers and acquisitions Lehman Brothers.

Walaupun mempunyai kehebatan dan kepakaran yang tinggi dalam bidang yang dilakukan, disebabkan CEO yang baru dilantik oleh Lehman Brothers tidak suka dengannya, beliau akhirnya diberhentikan bersama dengan wang pampasan.

Menubuhkan Syarikat Pelaburannya Sendiri

Selepas diberhentikan, Stephen Schwarzman kemudian mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat pelaburannya yang sendiri. Beliau telah bergabung dengan bekas pengurusnya di Lehman Brothers bagi menubuhkan Blackstone. Pada permulaannya, mereka menggunakan wang sendiri untuk beroperasi.

Stephen Schwarzman yang mempunyai pengaruh besar pada ketika itu telah menulis beratus-ratus surat kepada kenalannya ketika beliau bekerja di Lehman Brothers. Beliau telah menghantar lebih daripada 500 keping surat namun hanya sebahagian kecil saja yang memberi maklum balas kepada surat yang dihantarnya.

Di antara kandungan surat tersebut adalah menjemput mereka untuk melabur bersama dengan firma pelaburan yang baru diasaskannya itu. Belikau turut menulis surat untuk meminjam wang daripada bank-bank terkenal di New York bagi mengembangkan syarikatnya itu.

Kredit Gambar: Tropicana

Akhirnya beliau telah diberi kepercayaan oleh sebuah Chemical Bank untuk meminjam duit pelaburan. Stephen Schwarzman menggunakan duit pinjaman tersebut untuk melabur ke dalam Syarikat Tropicana Products dan pelaburan tersebut telah berjaya memberi pulangan yang besar.

Peristiwa ini telah memberi kepercayaan kepada pelabur luar tentang kemampuan Blackstone dalam pasaran saham. Sejak dari itu, beliau mula mendapat kepercayaan orang ramai.

Prudential, sebuah syarikat insurans yang terbesar dan terkenal pada ketika itu telah memberikan dana pelaburan sebanyak USD100 juta. Ianya merupakan langkah terbesar dalam perkembangan Blackstone.

Blackstone bertindak untuk melabur ke dalam syarikat U.S. Steel yang pada ketika itu hampir muflis. Blackstone yang membeli syarikat besi tersebut dan empat tahun kemudian, nilai pelaburan yang diperolehi meningkat sebanyak 4 kali ganda disebabkan harga besi telah melonjak naik pada pertengahan tahun 1980-an.

Kontroversi Yang Menimpa Blackstone

Kredit Gambar: NST

Walaupun syarikat ini berjaya dalam pelaburan yang dilakukannya, namun mereka tidak terlepas daripada kontroversi. Blackstone dituduh sebagai salah sebuah syarikat yang menyebabkan pasaran hartanah di Amerika Syarikat menjadi mahal. Perkara ini disebabkan mereka membeli rumah pada harga yang murah dan menjualnya semula pada harga yang tinggi.

Tindakan ini dilakukan ketika krisis ekonomi yang berlaku pada tahun 2008 apabila ramai yang tidak mampu membayar rumah mereka semasa berlakunya krisis sub prime. Ini telah menjadikan Blackstone sebagai salah sebuah pelabur hartanah yang paling berkuasa di dunia pada hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkritik tindakan yang dilakukan oleh Blackstone, walaupun ianya sah di sisi undang-undang tetapi dilihat tidak bermoral.

Dengan kejayaan Blackstone dalam dunia pelaburan, ianya telah menjadikan Stephen Schwarzman sebagai salah seorang bilionaire di Amerika Syarikat dengan nilai kekayaan sebanyak USD36 bilion.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.