Syarikat Permulaan Teknologi Logistik Pickupp Lebarkan Sayap di Malaysia dengan Hab Serantau Pertama di Pulau Pinang

Pickupp Malaysia, syarikat permulaan teknologi penghantaran yang mengolah semula industri logistik, mengumumkan pengembangan ke luar Lembah Klang menerusi hab serantau pertamanya di Pulau Pinang. Pickupp akan menyokong wilayah Utara dengan satu gudang, dan merancang untuk memperluas jejak pergudangannya dalam beberapa tahun akan datang, bagi memenuhi keperluan penghantaran ‘mil terakhir’, seiring lonjakan dalam e-dagang dan logistik. Pengumuman itu menyusuli pusingan pembiayaan Siri A dan Siri A+ syarikat induknya, Pickupp Limited, yang bernilai USD15 juta baru-baru ini.

Pengembangan ini sejajar dengan visi Pickupp Malaysia untuk membawa perkhidmatan yang ekonomi lagi cekap kepada perniagaan dan pengguna di luar Lembah Klang. Menerusi hab wilayah Utara ini, Pickupp akan terus bergandingan dengan rakan-rakan strategiknya, termasuk 3PL, bagi menaik taraf ekosistem penghantaran Malaysia yang menyaksikan lonjakan permintaan susulan pertumbuhan dan kematangan e-dagang di negara serta seluruh dunia. Kini, Pickupp mempunyai jalinan kerjasama dengan pelbagai pelanggan, daripada syarikat logistik multinasional (MNC) seperti DHL eCommerce dan Aramex, sehinggalah jenama e-dagang terkemuka seperti Lazada, FashionValet, dan sebagainya di Pulau Pinang.

“Usaha pengembangan rangkaian penghantaran ‘mil terakhir’ terbaharu kami akan mendekatkan lagi pelanggan kami dengan pelanggan akhir mereka di beberapa kawasan paling padat di Pulau Pinang, yang sering menghadapi kekangan kapasiti. Malahan, dengan melebarkan sayap ke wilayah Utara, kami dapat mempercepat masa produk masuk ke pasaran untuk pelanggan kami. Ini bukan sahaja kritikal dalam persekitaran yang serba kompetitif hari ini, tetapi juga penting untuk strategi pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang pelanggan kami,” kata Navin Kandapper, Pengurus Negara Pickupp Malaysia.

Menyediakan Peluang Pekerjaan kepada Komuniti Tempatan untuk Memacu Ekonomi

Pengembangan operasi Pickupp di Pulau Pinang dijangka akan menyediakan peluang pekerjaan bagi penduduk di negeri berkenaan, selain menawarkan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan pelanggan di wilayah ini dan sekitarnya. Syarikat ini turut memberi sokongan kepada komuniti tempatan yang terpinggir menerusi Pelan Pengambilan Ejen Penghantaran, yang sehingga kini telah membantu 38,497 individu.

“Logistik merupakan antara aspek paling mencabar dalam landskap e-dagang, khususnya untuk peniaga kecil. Jadi, Pickupp akan membantu mereka meningkatkan daya saing dalam ekonomi atas permintaan, berbekalkan servis penghantaran yang fleksibel dan boleh diperibadikan, serta penjimatan keseluruhan kos konvensional sebanyak kira-kira 30%. Ini dimungkinkan dengan perisian proprietari dan teknologi pengelompokan (batching) kami yang meningkatkan aliran kerja operasi untuk pengoptimuman perjalanan dan pengurusan gudang,” kata Navin Kandapper.

Sejak memulakan operasi di Malaysia, Pickupp telah memenuhi kira-kira empat kali ganda penghantaran pada hari yang sama setiap minggu di Lembah Klang berbanding dengan era pra-pandemik. Menerusi pengembangan ke Pulau Pinang, Pickupp berazam memenuhi permintaan perniagaan tempatan dan menyokong pembangunan lanskap logistik negeri berkenaan, selari dengan komitmen syarikat untuk terus memperkasakan tenaga kerja di Malaysia dengan peluang pendapatan yang fleksibel.

Bagi meningkatkan sokongan kepada PKS, Pickupp Malaysia telah melancarkan Program Rujukan dan Rebat PKS, yang meliputi perundingan logistik pro-bono bagi membantu merancang penghantaran, menaik taraf tawaran perniagaan, serta menyokong perancangan perniagaan. Pickupp Malaysia berhasrat memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan di Pulau Pinang bagi menyokong landskap F&B yang rancak, serta memperluas tawaran rentas sempadan untuk pelanggan dan rakan kerjasama menerusi hab serantau pertama itu, sebagai batu loncatan perkembangannya di rantau Asia Pasifik dan di luarnya.

Pangkalan pengguna Pickupp telah meningkat sebanyak 250% sejak tercetusnya wabak COVID-19 pada Mac 2020, dengan penyertaan lebih 100,000 ejen penghantaran di seluruh rantau. Pickupp Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pangkalan pengguna sebanyak 198%, sekaligus mewujudkan peluang pendapatan kepada 38,000 ejen penghantaran bebas. Di samping itu, Pickupp Malaysia turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi logistik bagi menyokong proses penghantaran khususnya dalam tempoh lonjakan permintaan. Hasilnya, Pickupp telah menjadi sokongan ‘mil terakhir’ bagi MNC dan langkah pertama untuk syarikat-syarikat permulaan dan PKS.

Mengenai Pickupp

Pickupp merupakan platform penghantaran atas permintaan yang mengolah semula logistik, dengan perkhidmatan dan teknologi berpaksikan pelanggan. Ditubuhkan pada tahun 2016, syarikat ini beroperasi di Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Taiwan, dan memberikan sokongan logistik kepada 20,000+ perniagaan yang merangkumi syarikat multinasional, gergasi logistik serta peruncit dan e-dagang. Ia juga mempunyai pasukan penghantaran terdiri daripada lebih 100,000 ejen penghantaran di semua bandar.

Pickupp menyediakan penyelesaian logistik berasaskan teknologi yang fleksibel, membolehkan perniagaan berkembang tanpa mengira saiz. Menerusi teknologi pengelompokan (batching) dan rantaian (chaining) yang dioptimumkan, pelanggan dapat memesan penghantaran pada bila-bila masa secara jimat masa dan kos, manakala penjejakan GPS masa sebenar menjamin ketelusan hujung-ke-hujung. Masa penghantaran Pickupp yang fleksibel dan ciri penjadualannya yang mudah membolehkan pelanggan bertindak tangkas untuk memanfaatkan peluang perniagaan. Pickupp telah melancarkan Shop On Pickupp, iaitu platform e-dagang sehenti yang menawarkan pembayaran serba lengkap dan penyelesaian penghantaran berpaksikan teknologi untuk perniagaan pada tahun 2020. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman kami di https://pickupp.io/en/.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.