Gagal Nak Bayar Hutang? 5 Cara Untuk Mengatasinya

Tak kisahlah hutang kereta ke, kad kredit ke, instalment rumah ke, hutang PTPTN ke, kita semua pasti ada hutang yang belum dilunaskan.

Berhati-hati sekiranya anda terlewat bayar ataupun terlepas membuat pembayaran bulanan pada setiap bulan, kerana pihak bank atau pemberi pinjaman akan menghantar laporan CCRIS dan akan direkod oleh Bank Negara Malaysia.

Apabila anda berhadapan dengan situasi sebegini, jangan mudah melenting dan panik. Bawa bersabar dan carilah jalan penyelesaian yang dapat membantu kewangan anda untuk jadi kembali pulih. Jangan mudah mengalah sehingga menyebabkan nama anda disenarai hitam atau lebih teruk lagi; diisytihar sebagai seorang muflis.

Apa kata kita berikhtiar dan cuba lakukan 5 perkara berikut untuk keluar daripada bebanan hutang.

1. Tambah Pendapatan 

Dalam pengurusan kewangan, dengan adanya tambahan daripada segi pendapatan, ia dapat membantu untuk menyelesaikan hutang anda. Jika anda mempunyai komitmen hutang yang tinggi, maka buatlah lebih daripada satu kerja bagi menambah pendapatan anda. Siapa suruh anda tambah komiten serta hutang anda?

Sebaliknya tingkatkan semangat anda untuk menambah pendapatan demi melangsaikan hutang yang ada dengan pihak bank, kalau taknak nama baik anda disenarai hitam. Jangan keruhkan lagi keadaan, sebelum ianya menjadi terlambat.

2. Kurangkan Perbelanjaan

Dah tambah pendapatan, seterusnya anda perlu kurangkan perbelanjaan. Kalau yang merokok, berhenti cepat-cepat – poket selamat, badan pun sihat.

Kalau sedang pakai line pascabayar (postpaid), cuba tukar ke prabayar (prepaid). Sekurang-kurangnya anda tidak terlebih belanja lepas ni.

Sama juga halnya jika anda melanggan siaran televisyen berbayar, apa kata anda hentikan langganan. Dapat juga jimat beratus ringgit setiap bulan.

Tapi janganlah sampai makan Maggi je setiap hari, nanti kesihatan pula terganggu.

3. Bantuan Badan Berdaftar

Salah satu cara lagi yang boleh anda lakukan adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK). Pihak AKPK akan membantu anda bagaimana untuk menguruskan segala hutang-hutang yang tak mampu anda bayar tadi.

Mereka akan membuat penstrukturan semula hutang-hutang tersebut bergantung kepada kemampuan anda pada masa tersebut. Namun, anda perlu ingat bahawa pihak AKPK bukanlah sebuah agensi yang dapat membberi bantuan kewangan anda untuk melangsaikan segala hutang-hutang tersebut.

Mereka adalah pihak yang membantu anda mencari jalan penyelesaian kepada masalah hutang-hutang anda. Segala nasihat dan khidmat yang telah mereka salurkan adalah percuma dan tidak berbayar.

Lari daripada hutang adalah tindakan yang amat tidak wajar, anda perlu berani ke depan untuk menghadapinya.

4. Pinjam Saudara Mara Terdekat Dengan Zero Interest

Mungkin anda malu untuk meminta daripada saudara terdekat, tapi keadaan memaksa anda untuk menebalkan muka dan bercerita perihal masalah hutang yang sedang anda alami. Sudah semestinya apabila meminjam dengan abang, kakak atau mak dan ayah sendiri, kita boleh minta tanpa faedah – tapi jangan pula salahguna kemudahan pinjaman daripada mereka.

Nanti tak pasal-pasal keruh pula perhubungan ahli keluarga.

5. Belajar Ilmu Kewangan

Terakhir sekali, cuba belajar mengenai ilmu kewangan ini. Tidak dinafikan, anda pandai belajar sehingga mendapat segulung ijazah; tapi itu tidak bermakna anda pandai bab pengurusan kewangan.

Berapa peratus pendapatan perlu disimpan, berapa perlu dilaburkan, berapa perlu diasingkan untuk bayar hutang; dan sebagainya.

Hutang Wajib Dibayar, Walaupun Dah Mati

Beringatlah bahawa hutang adalah wajib untuk dibayar, dan apabila anda sudah mati; waris pula yang mempunyai tanggungjawab untuk melangsaikannya.

Jadi sentiasalah amalkan kehidupan yang sederhana, dan elakkan daripada mengambil hutang yang tidak mampu anda bayar pada masa hadapan.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.