Boleh Ke Beli Saham Huawei?

Ren Zhengfei yang merupakan seorang bekas pegawai askar China telah mempelopor satu jenama telefon pintar yang tidak asing lagi pada 1987 iaitu Huawei (sebutan sebenar Wah-Way).

Sejak itu, Huawei telah berkembang pesat sehingga menjadi salah satu jenama telefon pintar terbesar di peringkat global setanding dengan Apple dan Samsung.

Sumber : Counterpoint

Sebelum kita jawab boleh atau tidak beli saham Huawei, eloklah kita ambil tahu serba sedikit latar belakang syarikat sama ada bagus atau tidak.

Pegangan yang besar dalam pasaran global ini diperkukuhkan lagi dengan penyata kewangan 2020 meskipun wabak COVID-19 melanda serta mendapat tentangan hebat bukan sahaja daripada Amerika Syarikat, malah negara barat yang lain.

Hal ini menyebabkan Huawei terpaksa memberhentikan 600 pekerja di Santa Clara, California dan pindahkan pejabatnya itu ke Kanada. Bukan itu sahaja, malah mereka seolah-olah memboikot jenama Huawei.

Seperti kita semua sedia maklum, mereka yang memiliki peranti Huawei terkini tidak lagi boleh menggunakan Playstore, Android lagi.

Persoalannya, bagaimana Huawei masih boleh untung? Dari mana Huawei jana pendapatan?

Sumber : Laporan Tahunan Huawei

Selain pembuatan telefon pintar, Huawei juga menyediakan servis dan jaringan telekomunikasi yang lebih mensasarkan segmen enterprise. Seperti mana kita boleh lihat dalam penyata kewangan terkini, sumbangan pendapatan segmen tersebut meningkat sebanyak 23%.

Antara faktor penyumbang kepada kenaikan ini adalah pengenalan Intelligent Twins yang terbina dari Huawei Cloud dan teknologi Artificial Intelligence (AI) sebagai tunjang kepada teknologi ini.

Disebabkan wabak COVID-19 yang melanda, terdapat banyak syarikat mula beradaptasi dengan teknologi terkini melalui jalinan dengan Huawei sebagai rakan strategik transformasi digital.

Sumber : Counterpointsearch

Tambahan, Huawei masih merupakan pemegang pasaran telefon pintar terbesar bagi China tahun lepas. Jadi, tidak hairanlah meskipun tidak disokong dan mendapat sekatan pelbagai pihak, Huawei tetap utuh mengatur strategi.

Begitulah serba-sedikit info penting yang boleh bantu kita untuk buat keputusan dalam pelaburan saham sesebuah syarikat bagi jangka masa panjang.

Meskipun prestasi dan perkembangan Huawei sangat memberangsangkan, anda tetap tidak boleh membeli saham syarikat itu. Ini kerana Huawei tidak diapungkan di pasaran saham dan kekal sebagai satu entiti swasta yang dimiliki oleh pekerja Huawei sahaja.

Hatta anda mempunyai warganegara China sekalipun, tetapi tidak bekerja dengan Huawei, anda tetap tidak dibenarkan memiliki saham syarikat tersebut. Pakar menggelar ini sebagai ‘kapitalisma pekerja’.

Dalam kes Huawei, CEO-nya hanya memiliki 1%. Manakala selebihnya dimiliki oleh kesatuan pekerja Huawei sendiri.

Sumber : asia.nikkei.com

Menarik sebenarnya kalau kita kaji struktur pemilikan syarikat sebegini. Malah terdapat juga beberapa syarikat terkenal yang menggunakan struktur ini seperti John Lewis Partnership dan Essilor.

Kelebihan struktur ini telah mewujudkan satu budaya positif dimana pekerja rasa diberi kepercayaan, teliti dengan kerja mereka dan sentiasa memikirkan untuk tambah baik perniagaan syarikat tersebut. Hal ini kerana pekerja diberi gaji berdasarkan tahap kerja yang dipikul serta memperoleh perkongsian untung secara telus.

Terdapat sinidiran mengatakan Huawei mendapat sokongan penuh kerajaan China. Huawei menafikan hal ini dan menegaskan kejayaannya hari ini adalah kerana mereka berdikari mengikut logik bisnes, bukan birokrasi politik yang banyak berlegar dalam syarikat-syarikat terapung terutamanya.

Sumber Rujukan:

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, tahun 2021 ini kami terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Buku Malaysia Melabur Saham ini juga boleh dibeli di Shopee!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters