Alliance Bank, MGTC Bantu PKS Beralih Ke Arah Amalan yang Lebih Mapan

Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank”) telah menandatangani Memorandum Kerjasama selama tiga tahun dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (“MGTC”) untuk membantu perniagaan beralih ke arah amalan perniagaan yang lebih mapan.

Menerusi Memorandum Kerjasama ini, Alliance Bank akan bekerjasama dengan MGTC untuk mempromosikan Program Membimbing dan Membangunkan PKS Hijau kepada para pelanggan. Program ini meliputi latihan, persijilan hijau dan peluang pemadanan perniagaan.

Alliance Bank dan MGTC akan membantu PKS untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang peluang pertumbuhan bagi perniagaan yang mematuhi Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG). Program ini bertujuan membantu PKS menyusun hala tuju kemapanan mereka menerusi rundingan, sesi latihan, taklimat dan bengkel.

MGTC juga akan membantu PKS yang menjadi pembekal penyelesaian ESG untuk mendapatkan persijilan MyHIJAU dan disenaraikan dalam Direktori MyHIJAU yang merupakan sumber dalam talian bagi produk dan perkhidmatan hijau yang disahkan. Tanda MyHIJAU merupakan pengiktirafan hijau rasmi yang disokong oleh Kerajaan Malaysia.

Perniagaan yang diperakui MyHIJAU boleh memohon insentif pengecualian cukai seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE). Perniagaan yang diperakui juga boleh memilih untuk tersenarai dalam platform Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM). Menerusi platform ini, perniagaan ini akan dijemput menyertai forum dan aktiviti untuk meluaskan lagi rangkaian mereka.

Pada masa yang sama, perniagaan ini akan disenaraikan dalam portal BizSmart® Solution Alliance Bank. Portal komuniti perniagaan dalam talian ini membolehkan pemilik perniagaan bertemu dengan pelanggan baharu dan mengakses penyelesaian dan sumber yang relevan untuk menguruskan perniagaan mereka dengan lebih cekap lagi.

Bank menyediakan pembiayaan hijau dengan kadar keutamaan kepada PKS yang melaksanakan amalan perniagaan mapan, termasuklah penyedia penyelesaian ESG. Bank juga akan membantu memudahkan akses mendapatkan geran kerajaan seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.

“Alliance Bank sentiasa memberi tumpuan untuk membantu menjayakan perniagaan PKS dan kerjasama dengan MGTC ini, menyokong komitmen kami untuk membantu pemilik perniagaan menerima amalan dan inovasi ESG bagi mengurangkan jejak karbon mereka,” kata En. Joel Kornreich, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank.

“MGTC sebagai sebuah agensi kerajaan berperanan untuk mengarusperdanakan Ekonomi Hijau melalui program pengembangan produk dan perkhidmatan hijau, memacu tindakan mengurangkan kesan perubahan iklim seperti menyokong usaha kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, program bandar rendah karbon dan mobiliti karbon rendah. Selain itu, MGTC berusaha untuk memupuk gaya hidup hijau melalui program publisiti dan kesedaran dalam membentuk kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor swasta pada platform berskala global. Oleh yang demikian, kami mahu meneruskan usaha sama untuk membina perkongsian jangka panjang dan strategik antara MGTC dan Alliance Bank,” kata Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation.

Alliance Bank baru-baru ini juga menandatangani Memorandum Persefahaman selama lima tahun dengan MGTC untuk menganjurkan program Cabaran EcoBiz bagi para pelajar pusat pengajian tinggi. Cabaran ini menggabungkan program pembelajaran komprehensif selama 20 minggu oleh MGTC, iaitu Jana Graduan Usahawan Hijau (“JaGUH”). Cabaran Ecobiz Musim ke-4 pada tahun ini menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk Idea Perniagaan Sosial Hijau yang Terbaik.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh Alliance Bank dan MGTC, sila layari https://bizsmartsolution.alliancebank.com.my.

###

Tentang Alliance Bank Malaysia Berhad

Alliance Bank Malaysia Berhad dan subsidiarinya, Alliance Investment Bank Berhad dan Alliance Islamic Bank Berhad, merupakan kumpulan perkhidmatan kewangan dinamik dan bersepadu yang menawarkan penyelesaian perbankan dan kewangan melalui perbankan pengguna, perbankan PKS, perbankan korporat dan komersial, perbankan Islam, perbankan pelaburan dan perniagaan pembrokeran saham. Bank menyediakan capaian mudah di seluruh negara melalui penyediaan perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan yang luas melalui saluran penyediaan berbilang cabang termasuk cawangan runcit, Pusat Perbankan Privilege, Pusat Perniagaan dan cawangan Bank Pelaburan serta kemudahan perbankan mudah alih dan Internet.

Tentang Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC)

Malaysian  Green  Technology  and  Climate Change  Corporation  (MGTC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diberi mandat untuk memacu negara dalam skop Pertumbuhan Hijau, Memacu Tindakan Mitigasi Perubahan Iklim dan  Membudaya Gaya Hidup Hijau.

Tiga dasar nasional, khususnya Dasar Teknologi  Hijau  Negara  (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP) dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), mengatur peranan MGTC sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi hijau.

Inisiatif dan program MGTC menjurus pada mencapai impak jangka panjang menjelang 2030 dengan pengurangan kadar pelepasan gas rumah kaca negara (GHG) sebanyak 45%, meningkatkan sumbangan KDNK daripada teknologi hijau sebanyak RM100 bilion dan menjana 230,000 peluang pekerjaan hijau.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.