Tingkatkan Jumlah Jualan Kedai Atas Talian Dengan Shopee Live

Mendirikan sebuah kedai atas talian di platform seperti Shopee boleh dilakukan dalam masa 30 saat sahaja. Bagi mengekal dan memastikan terdapat jualan dan aliran pelanggan yang berterusan ke kedai memerlukan pelbagai taktik.

Walaupun ramai penjual yang telah menyelidik dan mencuba pelbagai kaedah untuk meningkatkan pendedahan serta jumlah jualan atas talian melalui pelbagai kemudahan pemasaran seperti kredit iklan telah berjaya, Shopee Live merupakan ciri yang semakin popular di aplikasi Shopee untuk penjual menjana jualan.

Shopee Live menawarkan peluang kepada para penjual untuk mengendalikan sesi penstriman langsung yang interaktif bagi meningkatkan pendedahan serta pengikut kedai atas talian dan jumlah jualan mereka.

Noor Hanisah Abu Bakar, 24, menjual pakaian Muslimah seperti baju kurung, skirt, kaftan, blaus dan banyak lagi melalui kedainya Laysa RTW di Shopee mengendalikan tiga sesi penstriman langsung di Shopee Live dalam satu hari.

Menurut beliau, Shopee Live merupakan komponen penting untuk perniagaan atas taliannya kerana ia menarik pelanggan-pelanggan baharu ke kedainya.

Hanisah menubuhkan kedai Shopeenya tiga tahun lalu dan ia menjana jualan secara purata sebanyak RM20,000 sebulan. Sesi penstriman langsung Shopee Live beliau menyumbang sekurang-kurangnya 20% kepada hasil jualan bulanan kedainya.

“Saya menstrim kira-kira tiga kali sehari di Shopee Live kerana objektif saya adalah untuk menghabiskan stok saya.

“Dengan ini, produk saya laris dijual apabila saya mengendalikan auction melalui Shopee Live berbanding dengan menggunakan Shopeee Ads untuk meningkatkan trafik ke kedai saya apabila saya baru memulakan kedai Shopee saya.”

Fungsi Auction di Shopee Live adalah satu ciri yang membolehkan para penjual memberi hadiah percuma atau menawarkan harga istimewa untuk masa terhad semasa sesi penstriman langsung kepada jumlah penonton yang ditetapkan. Para penjual boleh menetapkan tempoh masa serta syarat auction, dan menjadikannya eksklusif untuk pengikut mereka juga.

Selain menggunakan ciri ini, Hanisah berkongsi bahawa beliau memberikan Syiling Shopee serta menawarkan tawaran menarik untuk menarik perhatian orang ramai untuk menonton sesi penstriman langsungnya.

“Ini telah berjaya membantu saya mendapatkan jualan semasa sesi penstriman langsung saya.”

“Selain itu, saya memastikan saya membuat persedian secukupnya dan latar belakang yang digunakan semasa sesi penstriman nampak menarik. Ini adalah untuk memberikan tanggapan pertama yang baik kepada penonton saya. Ini adalah beberapa strategi yang saya gunakan untuk meningkatkan jumlah penonton dan jualan saya semasa sesi penstriman Shopee Live saya,” katanya.

Walaupun bukan semua orang yang menonton strim Hanisah akan membuat pembelian, beliau gembira kerana beliau akan mendapat sekurang-kurangnya 800 orang penonton yang akan bertukar menjadi pelanggannya daripada 2,000 orang penonton yang menonton strim beliau.

Patrick Khoo, 28, mendirikan kedainya WP Store di Shopee tahun lepas untuk menjual makanan ringan. Apabila beliau baru memulakan perjalanannya di platform e-dagang Shopee, jumlah trafik ke kedainya rendah.

Mendengar cerita daripada penjual lain yang berjaya menjual pelbagai produk di platform Shopee, beliau rasa bahawa beliau mungkin tidak mengamalkan strategi yang betul untuk memasarkan produknya. Menurutnya, makanan ringan bukan sesuatu yang dicari secara aktif oleh para pengguna, sebaliknya, ia dibeli secara impulsif.

Ini mendorong beliau untuk mencuba beberapa ciri yang ditawarkan di atas platform dan menemui Shopee Live. Beliau mendapati bahawa melalui sesi penstriman langsung, beliau dapat berinteraksi secara langsung dengan penontonnya dan menunjukkan serta menerangkan rasa pelbagai makanan ringan kepada pelanggan-pelanggan berpotensi.

“Ketika saya baru memulakan penstriman langsung saya, saya hanya mempunyai kira-kira 10 orang penonton. Kemudian saya mencuba untuk memberikan Syiling Shopee untuk menarik penonton untuk menonton sesi penstriman langsung saya.

“Dan ini berjaya! Saya berjaya mendapat lebih seribu penonton dan berjaya memperoleh beberapa jualan. Saya juga mencuba ciri auction untuk memberi hadiah percuma dan menawarkan produk saya pada harga eksklusif kepada penonton saya. Ini meningkatkan lagi jumlah jualan saya,” katanya sambil menambah bahawa beliau mengendalikan kira-kira 10 sesi Shopee Live setiap hari.

Sesi penstriman langsung, katanya, mampu membantunya menjana jumlah pendapatan harian antara RM3,000 dan RM4,000.

Beliau menambah bahawa tiada apa penjual tidak dapat jual di Shopee Live kerana ciri tersebut membolehkan penjual berinteraksi dan meyakinkan pelanggan mereka.

“Bagi saya, Shopee Live lebih berkesan berbanding dengan penerangan produk bergambar kerana ini menghadkan apa yang saya ingin sampaikan kepada pelanggan saya tentang makanan ringan yang saya jual jika saya menggunakan pendekatan tersebut.

“Tetapi, di Shopee Live, saya boleh melakukan beberapa demonstrasi, berinteraksi dengan mereka dan menjawab soalan mereka,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa penjual yang ingin mencuba Shopee Live buat kali pertama tidak harus berputus asa jika sesi penstriman langsung mereka mempunyai jumlah tontonan yang rendah.

Seorang penjual, katanya, harus ingat bahawa objektif Shopee Live adalah untuk mendapatkan jualan. Walaupun dengan jumlah penonton yang rendah, mereka masih mempunyai peluang untuk mendapatkan jualan jika mereka kreatif untuk menawarkan pakej yang menarik dan meyakinkan pelanggan mereka tentang nilai yang ditawarkan. “Tetapkan sasaran jualan harian. Jika anda tidak dapat mencapai sasaran anda dengan satu sesi Shopee Live, aturkan beberapa sesi penstriman langsung dalam sehari untuk cuba mencapai sasaran anda,” kata Patrick.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI