Persediaan Dan SOP Peniaga (Buka Kedai Ketika Pandemik)

Akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu, kebanyakan premis perniagaan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi menangani wabak tersebut daripada merebak. 

Namun, pihak kerajaan jelas telah mengeluarkan SOP tetap untuk peniaga yang ingin membuka kedai ketika pandemik bagi memulihkan ekonomi peniaga yang terjejas. Jom kami kongsikan antara persediaan dan SOP peniaga buka kedai ketika pandemik. Ini merupakan panduan penting untuk peniaga yang ingin membuka kedai fizikal seperti biasa.

Persediaan Dan SOP Peniaga Buka Kedai Fizikal

Pada awalnya, terdapat 181 SOP yang dikeluarkan dan telah dikurangkan secara berperingkat dari semasa ke semasa yang bersesuaian dengan situasi bilangan angka jangkitan virus COVID-19. 

SOP yang dikeluarkan adalah untuk memastikan wabak COVID-19 ini dapat dibendung dan tidak menular kepada orang ramai. Antara persediaan dan SOP yang perlu dilakukan oleh peniaga yang ingin membuka kedai ketika pandemik:

  1. Beroperasi Mengikut Waktu Yang Ditetapkan

Pihak kerajaan telah menetapkan waktu operasi bagi kedai yang ingin berniaga ketika pandemik. Ia juga bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Dari segi kapasiti pekerja pula, ia harus 100% jumlah pekerja yang terdapat dalam kedai tersebut.

  1.  Menjaga Kebersihan Premis

Berniaga ketika pandemik juga memerlukan para peniaga untuk menjaga kebersihan premis dengan melakukan proses nyah kuman selepas waktu beroperasi. Selain itu, proses nyah kuman perlu dilakukan 3 kali sehari dalam tempoh operasi di kawasan umum seperti tandas, stor, kaunter, pejabat dan juga surau.

Kredit: http://www.pnbbcportal.com

  1. Mengawal Aktiviti Di Dalam Kedai dan Melakukan Penjarakan Sosial

Bagi memastikan virus COVID-19 tidak tersebar, peniaga juga harus memastikan had keluar masuk pelanggan dijaga dan bilangan pelanggan yang berada dalam premis haruslah seminima yang mungkin mengikut saiz keluasan premis. Penjarakan sosial sejauh 1 meter juga perlu dilakukan sepanjang masa oleh semua pihak.

  1. Melakukan Saringan Kesihatan Dan Mewajibkan Pemakaian Face Mask

Saringan kesihatan amat penting dilakukan oleh semua pihak. Tidak kiralah staf ataupun pelanggan kedai sekalipun, mesti melakukan proses saringan suhu badan bagi memastikan tiada individu yang membawa virus tersebut ke dalam kedai. Pemakaian face mask (topeng muka) juga harus diwajibkan bagi mengelakkan virus tersebut tidak dijangkiti oleh semua pihak.

Kredit: https://www.biometricupdate.com

  1.  Menyediakan Hand Sanitizer

Pihak premis juga harus menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dan pastikan hand sanitizer terbabit digunakan sebelum memasuki kedai. Dengan adanya kemudahan sanitizer, wabak COVID-19 dapat dibendung dan masing-masing akan menjaga kesihatan diri dan semua.

  1.  Melakukan Transaksi Tanpa Sentuhan

Pelanggan dan pihak premis juga digalakkan untuk melakukan transaksi tanpa sentuhan. Antaranya, melakukan pembayaran secara menggunakan kad debit ataupun secara e-wallet. Ia bukan saja memudahkan, tapi juga dapat mengelakkan sebarang aktiviti bersentuhan.

Kesimpulannya, bagi memastikan pandemik ini berakhir, kita semua perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan. Kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan kepada mana-mana pihak yang gagal mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Ingatlah, pihak kerajaan mengeluarkan SOP ini adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 demi keselamatan kita semua.

Rujukan

  1. https://peraktastic.com/p1/index.php/dalam-negeri-menu/255-empat-peniaga-kena-kompaun-gagal-patuhi-sop.html
  2. https://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/2020/SOP/08_SOP_SEKTOR_PERUNCITAN_KPDNHEP.pdf
Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.