Pembayar Cukai Ada Hak Merayu Ke Atas Taksiran Cukai Yang Dibangkitkan LHDNM

Surat LHDN sampai ke rumah? Jangan panik.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya bersesuaian dengan moto perkhidmatan LHDNM. Sehubungan itu, objektif LHDNM untuk melaksanakan sistem percukaian yang berkesan, adil dan saksama turut memberi ruang kepada pembayar cukai membuat rayuan sekaligus menyemak semula cukai yang telah dibangkitkan sama ada oleh LHDNM atau ditaksir sendiri oleh pembayar cukai sekiranya mereka tidak berpuas hati atas cukai yang dikenakan.

Walau bagaimanapun, rayuan yang dikemukakan masih tertakluk kepada alasan, justifikasi yang dikemukakan dan peruntukan undang-undang percukaian yang sedang berkuatkuasa.

Siapa Yang Boleh Membuat Rayuan?

Rayuan boleh dibuat oleh mana-mana pembayar cukai sama ada individu mahupun syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi. Bagi rayuan oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad. rayuan hendaklah dibuat oleh orang yang diberi kuasa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 untuk memasukkan rayuan bagi pihak syarikat dan perkongsian liabiliti terhad tersebut.

Berhubung perkongsian pula, hanya satu rayuan yang perlu dikemukakan jika isu pertikaian adalah sama bagi setiap ahli kongsi. Apa jua keputusan berhubung rayuan yang dimasukkan adalah terpakai kepada semua ahli kongsi dalam perkongsian tersebut.

Mulai Tahun Taksiran 2019, jika taksiran dibangkitkan oleh LHDNM terhadap suatu syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah atau koperasi atas kegagalan mengemukakan Borang Nyata (BN), rayuan terhadap taksiran itu hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan BN berkenaan.

Bilakah Rayuan Cukai Boleh Dibuat?

Rayuan cukai boleh dibuat sekiranya pembayar cukai tidak berpuas hati dengan taksiran apabila berlaku situasi-situasi seperti:

  • Pelepasan cukai tidak diberikan dengan sewajarnya
  • Terlupa untuk menuntut apa-apa bayaran dan perbelanjaan tertentu
  • Tidak berpuas hati dengan taksiran pendapatan oleh LHDNM

Rayuan Dalam Tempoh 30 Hari

Sekiranya pembayar cukai tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibangkitkan, rayuan boleh dibuat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh Notis Taksiran diterima daripada pihak LHDNM.  

Rayuan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Borang Q yang boleh dimuat turun dan dicetak daripada Portal Rasmi LHDNM di alamat http://www.hasil.gov.my.

Borang Q yang lengkap beserta dengan alasan yang kukuh hendaklah dikemukakan ke Jabatan atau cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai. 

Rayuan cukai dibuat menggunakan Borang Q yang dimuat turun dan dicetak daripada Portal Rasmi LHDNM

Pembayar cukai perlu melengkapkan Borang Q dengan mengemukakan maklumat seperti tarikh, amaun cukai yang kena dibayar berdasarkan kepada Notis Taksiran yang dipertikaikan, alasan rayuan secara terperinci dan maklumat lain yang diperlukan.

Pastikan alasan tersebut disertakan dengan bukti atau dokumen sebagai justifikasi terhadap rayuan seperti lejar akaun, inbois jualan atau apa sahaja dokumen yang berkaitan dengan isu yang dipertikaikan. Borang Q yang telah lengkap diisi juga perlu ditandatangani oleh pembayar cukai sendiri dan bukan mana-mana pihak yang mewakili pembayar cukai.

Sekiranya Borang Q ini tidak lengkap, LHDNM tidak akan menerima Borang Q tersebut dan ia akan dikembalikan kepada pembayar cukai.

Bagaimana Sekiranya Tempoh 30 Hari Tidak Mencukupi?

Sekiranya terdapat kelewatan dalam memasukkan rayuan, pembayar cukai juga diberikan kesempatan untuk membuat permohonan pelanjutan tempoh masa untuk membuat rayuan dengan mengemukakan permohonan pelanjutan masa melalui Borang N yang boleh dimuat turun dan dicetak daripada Portal Rasmi LHDNM. Pembayar cukai perlu mengemukakan alasan dan justifikasi yang kukuh bagi permohonan pelanjutan tempoh masa untuk membuat rayuan ini.

Sekiranya permohonan pelanjutan tempoh masa dibenarkan, pembayar cukai akan diarahkan untuk memasukkan permohonan melalui Borang Q dalam tempoh baharu yang ditetapkan.

Borang N
Pembayar cukai boleh mengemukakan permohonan pelanjutan masa melalui Borang N 

Semakan Semula Dalam Tempoh 12 Bulan

Semakan semula taksiran oleh LHDNM berdasarkan rayuan yang dikemukakan oleh pembayar cukai adalah dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh penerimaan rayuan. Walau bagaimanapun, pelanjutan masa masih boleh diberikan oleh Menteri Kewangan kepada satu tempoh tidak lebih daripada 6 bulan selepas tamatnya tempoh asal 12 bulan tersebut atas permohonan pihak LHDNM sekiranya perlu.

LHDNM akan membuat semakan semula ke atas taksiran tersebut dimana taksiran mungkin boleh dikurangkan atau mungkin juga tidak dikenakan cukai. Walau bagaimanapun, sebarang keputusan rayuan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan.

Dalam tempoh semakan semula ini juga, sekiranya terdapat pertikaian berhubung pendirian LHDNM bagi pengiraan atau semasa mengisytiharkan pendapatan atau pelepasan yang mana pembayar cukai perlu memberikan penjelasan, pembayar cukai masih boleh memohon untuk diadakan satu sesi perbincangan atau prosiding pendengaran berhubung pertikaian tersebut bersama-sama dengan pihak LHDNM.

Dalam prosiding ini, pembayar cukai akan dibenarkan untuk mengemukakan asas dan justifikasi rayuan untuk tujuan semakan semula oleh pihak LHDNM. Prosiding ini merupakan satu prosiding bebas bagi membuat penilaian semula keputusan LHDNM. Sekiranya tiada persetujuan dicapai melalui prosiding ini, rayuan pembayar cukai akan dikemukakan ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan untuk diputuskan. 

Rayuan Terhadap Taksiran Sendiri (self-assessment)

Sekiranya pembayar cukai mendapati terdapat kesilapan dalam pemfailan BNCP yang mana terdapat peninggalan atau keciciran tuntutan perbelanjaan yang layak dituntut, permohonan relif boleh dikemukakan sama ada melalui surat atau Borang CP15C dengan menyatakan alasan-alasan terperinci berkaitan dengan permohonan tersebut. 

Borang CP15C ini boleh dimuat turun dan dicetak daripada Portal Rasmi LHDNM. Sekiranya permohonan relif ini diluluskan, taksiran akan dipinda. Walau bagaimanapun, sekiranya permohonan relif ini tidak dapat dipertimbangkan oleh pihak LHDNM, pembayar masih boleh meminta agar permohonan relif ini dikemukakan untuk diputuskan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Kesimpulan

Hak yang diberikan kepada pembayar cukai untuk membuat rayuan ke atas taksiran yang telah dibangkitkan ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sistem percukaian yang adil dan saksama. Ini sudah pasti memberi kesan positif kepada pembayar cukai untuk sentiasa patuh membayar cukai sebagai sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

LHDNM sentiasa menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh pembayar cukai yang mana ia dilihat menguntungkan kedua-dua pihak. Penerangan lanjut berhubung rayuan cukai ini boleh dirujuk dalam Ketetapan Umum No.7/2020 melalui Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Perundangan > Ketetapan Umum.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.