Malaysia Dijangka Tarik Pelaburan Baharu Bernilai RM14.62 Bilion Dari AS – Azmin

WASHINGTON DC, 10 Mei (Bernama) — Malaysia dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari Amerika Syarikat (AS) dengan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata banyak syarikat yang berpangkalan di AS menyatakan komitmen untuk mengembangkan operasi dan kehadiran mereka di Malaysia semasa TIM AS selama 10 hari yang bermula 8 Mei lepas.

“Kita akan membuat beberapa pengumuman besar dalam beberapa hari akan datang dari segi jumlah pelaburan baharu yang datang daripada komitmen syarikat-syarikat ini,” katanya kepada pemberita Bernama dan TV3 di sini, pada Selasa.

Setakat ini, beliau telah bertemu dengan beberapa syarikat teknologi tinggi seperti syarikat semikonduktor global, Texas Instruments Inc. dan pembekal bahan global untuk industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor, Indium Corporation.

Selain itu, beliau juga dijadualkan untuk menghadiri pertemuan dengan lebih banyak peserta industri teknologi tinggi dalam rangka lawatan ke San Francisco, Seattle dan Los Angeles.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneruskan misi perdagangan untuk menarik lebih banyak pelaburan, dan yakin pelaburan berkualiti tinggi akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk bakat Malaysia.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Duta Perwakilan Perdagangan AS, Katherine Tai telah menyambut baik cadangan Malaysia bagi menggerakkan semula Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan (TIFA).

Kedua-dua negara diharap dapat memuktamadkan bagi pengaktifan perjanjian itu dalam tempoh terdekat, katanya.

Beliau berkata Malaysia pada dasarnya terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan AS, memandangkan perbincangan terakhir mengenai TIFA antara kedua-dua negara diadakan pada 2005, dan tiada perkembangan lanjut dicatatkan sejak itu walaupun kedua-dua negara cuba untuk meneliti dan menggerakkannya kembali pada 2017 namun tidak berjaya.

“Tetapi sudah tentu, kita perlu melihat bagaimana TIFA boleh membantu kita dan mengurangkan cabaran global yang kita hadapi sekarang, seperti (untuk memastikan) daya tahan rantaian bekalan,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Tai pada Selasa.

Mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dicadangkan Presiden AS Joe Biden, yang dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala berasingan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo pada Selasa, Mohamed Azmin berkata Malaysia terbuka bagi perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia, kita terbuka untuk lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu, dan kita mahu memastikan semangat kepusatan ASEAN dihormati, dan memastikan semua negara anggota ASEAN membincangkan perkara itu secara menyeluruh,” katanya.

Memorandum Kerjasama (MoM) bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan ditandatangani antara Mohamed Azmin dan Raimondo selepas mesyuarat dua hala itu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata Tai and Raimondo telah bersetuju untuk meningkatkan perbincangan libat urus dan perundingan antara AS dan Malaysia bagi menangani isu berkaitan amalan perburuhan, tadbir urus selari dengan rangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dan piawaian antarabangsa yang pasti memberi kebaikan dan kelebihan kepada syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran global.

Selepas mesyuarat dua hala itu, beliau dan Raimondo turut menjadi penganjur bersama sesi meja bulat dengan peserta industri semikonduktor terkemuka AS.

Kedua-dua pemimpin itu akan memastikan daya tahan rantaian bekalan walaupun berlaku peningkatan permintaan bagi semikonduktor dalam sektor automotif, aeroangkasa dan peranti perubatan.

“Syarikat-syarikat tersebut juga memberi jaminan kepada saya bahawa mereka akan terus bantu membangunkan ekosistem dengan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan vendor tempatan di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.