Untung bersih 2021 UOB Malaysia naik 12.2 peratus kepada RM1.14 bilion

UOB Malaysia mencatat peningkatan 12.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM1.14 bilion pada 2021 berikutan pendapatan operasi yang lebih tinggi dan jumlah peruntukan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah.

Jumlah pendapatan operasi UOB Malaysia meningkat 4.3 peratus kepada RM3.35 bilion, bersandarkan pendapatan faedah bersih yang lebih kukuh dan pendapatan bersih yang lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam. Jumlah peruntukan jangkaan kerugian kredit ialah 17.7 peratus atau RM103.2 juta lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan aset kewangan lain untuk aset tidak terjejas.

Sambil menguruskan perbelanjaan budi bicaranya secara berhemat, UOB Malaysia terus melabur dalam infrastruktur teknologi pada 2021 dalam usaha menyokong pertumbuhan perniagaan. Ini telah membawa kepada peningkatan 5.7 peratus dalam jumlah perbelanjaan operasi kepada RM1.36 bilion.

Mengekalkan kedudukan modal, kecairan dan pendanaan yang kukuh sambil membantu pelanggan semasa pandemik

Pinjaman kasar, pendahuluan dan asas pembiayaan meningkat 2.9 peratus kepada RM90.0 bilion manakala deposit bukan bank naik 3.7 peratus kepada RM97.1 bilion pada 2021. Walaupun beroperasi dalam persekitaran mencabar, pinjaman dan pembiayaan Perbankan Borong berkembang dengan mantap, berlandaskan keupayaan perbankan Islam Bank dan rangkaian serantaunya. Bank merupakan bookrunner kedua terbesar di Malaysia pada 2021. Di samping itu, jumlah transaksi pelaburan langsung asing (FDI) yang diuruskan oleh Bank meningkat hampir 20 peratus, berbanding tahun sebelumnya. Aliran ini termasuk pelaburan baharu dari wilayah Greater China, ASEAN, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, perbelanjaan dan simpanan pengguna kembali pulih, ditambah lagi dengan usaha Bank untuk menjadikan perbankan lebih mudah dan bijak untuk pelanggan, telah merangsangkan perniagaan perbankan runcit UOB Malaysia. Ini termasuk memperkenalkan keupayaan membuka akaun secara digital pada aplikasi perbankan mudah alih ‘semua dalam satu’ Bank, UOB Mighty, yang membolehkan pelanggan membuka akaun bank peribadi pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu mengunjungi cawangan.

Dari segi kemampanan, UOB Malaysia mencapai satu lagi kejayaan dengan pelancaran program U- Energy. Sebagai platform pembiayaan bersepadu pertama di Asia, program ini diperkenalkan bagi membantu perniagaan dan pemilik rumah menyesuaikan semula bangunan mereka dengan ciri-ciri cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga. U-Energy melengkapkan program U-Solar Bank, yang dilancarkan pada 2019, dalam usaha menyediakan penyelesaian pembiayaan fleksibel kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada sumber boleh diperbaharui selain memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim.

Bank terus mengekalkan asas modal yang kukuh dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 pada 17.7 peratus dan nisbah Jumlah Modal pada 20.5 peratus. Kedudukan kecairan dan pendanaannya juga kekal teguh dengan nisbah liputan kecairan dan nisbah pembiayaan bersih yang stabil jauh melebihi keperluan kawal selia minimum.

Sepanjang pandemik, UOB Malaysia terus membantu pelanggan, terutamanya golongan individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Program Bantuan COVID-19. Dari Mac 2020 hingga Disember 2021, lebih 34,000 pelanggan individu, perusahaan mikro dan PKS telah mendapat manfaat daripada Program ini. Bantuan yang diberikan termasuk pinjaman dan pembiayaan berjumlah lebih RM23 bilion. Semua ini telah membantu pelanggan mengatasi impak kewangan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan yang berpanjangan.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Meskipun berada dalam persekitaran operasi yang tidak menentu pada 2021, kami telah memberi prestasi yang membanggakan, dengan peningkatan dalam pendapatan operasi dan keuntungan bersih. Melalui pengurusan risiko yang berhemat dan pendekatan perniagaan yang berdisiplin, kami mengekalkan penyata imbangan yang kukuh sambil terus merebut peluang dan mengembangkan bahagian pasaran.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal bertumpu pada peningkatan infrastruktur teknologi untuk memacu inovasi dan prestasi. Kami juga akan terus membantu pelanggan mengambil kesempatan daripada arah aliran pertumbuhan berstruktur ASEAN, selain beralih kepada kemampanan melalui rangkaian penyelesaian pembiayaan kami. Pada 2021, U-Solar telah membantu memudahkan penjanaan hampir 90.1 gigawatt jam tenaga solar di Malaysia. Ini boleh dibandingkan dengan pengurangan gas rumah hijau sebanyak 58.8 tan karbon dioksida, bersamaan dengan penanaman hampir 972,507 benih pokok selama 10 tahun dan mengeluarkan kira-kira 12,791 kereta dari jalan raya selama setahun.”

Komitmen UOB Malaysia kepada Malaysia apabila momentum pemulihan meningkat

Puan Ng menambah bahawa pemulihan Malaysia kini semakin pesat dan beliau menjangka pertumbuhan ekonomi akan berkembang kukuh.

“Kami yakin dengan pembangunan Malaysia, yang digariskan dalam pelaburan berterusan kami untuk memantapkan kedudukan di negara ini dan juga membangunkan tenaga insan kami. Komitmen kami diperkukuh lagi dengan pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia baru-baru ini, tertakluk kepada kelulusan kawal selia, dan pelaburan dalam ibu pejabat baharu kami yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. UOB Malaysia telah menyokong pertumbuhan Malaysia selama lebih 70 tahun dan kami akan terus membantu pelanggan dan komuniti kami untuk tahun-tahun akan datang.”

UOB Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Wong Kim Choong yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 30 April 2022. Visi yang jelas serta kepimpinan yang berkebolehan beliau selama bertahun-tahun telah membantu Bank berkembang menjadi bank asing terbesar di negara hari ini, kedudukan yang paling kukuh setakat ini. Encik Wong akan terus menyumbang kepada pembangunan Bank melalui peranan baharu beliau sebagai Penasihat Kanan dalam pengambilalihan perbankan pengguna Citi.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.