UOB Malaysia Jemput Pelukis Jangkaui Batasan Imaginasi Mereka Pada Pelancaran Pertandingan 2022 UOB Painting Of The Year

Kuala Lumpur, Malaysia, 25 Mei 2021 – UOB Malaysia telah melancarkan pertandingan  UOB Painting of the Year (POY) 2022 dan menjemput para pelukis mapan dan baru muncul untuk mencipta karya seni inovatif yang mempamerkan penguasaan seni mereka. Pertandingan UOB POY adalah program seni visual serantau utama Bank dan salah satu anugerah seni tahunan paling berprestij di Asia Tenggara yang bertujuan mencungkil dan memupuk bakat seni di seluruh rantau ini.

Tahun ini, bersempena ulang tahun ke-71 UOB Malaysia, Bank juga telah memperkenalkan Kempen Khas Ulang Tahun ke-71 UOB Malaysia sebagai sebahagian daripada pertandingan UOB POY (Malaysia) 2022. Karya seni yang memenangi kempen khas ini akan dipaparkan pada bahagian luar tren transit aliran massa (MRT) awam yang akan bergerak di sekitar Lembah Klang. Ini adalah sebahagian daripada komitmen Bank untuk membuka peluang kepada komuniti yang lebih besar menceburi bidang seni lukis, di samping meningkatkan profil dan mempamerkan hasil karya para pemenang dari Malaysia.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, “Seni mempunyai daya tarikan untuk meluahkan emosi yang kuat, mencetus pemikiran dan idea, serta menyatukan para penggiat dan peminat dari segala lapisan masyarakat. Identiti program tahun ini bertemakan ‘optimisme’ yang sejajar dengan tempoh kita beralih menuju ke masa depan yang lebih cerah dan penuh makna. Selaras itu, hasrat kami agar dapat membangkitkan semangat positif dan kesalinghubungan kepada komuniti seni yang telah terjejas oleh kesan pandemik global.

“Melalui pertandingan UOB POY tahunan ini, kami akan terus mencungkil bakat seni di Malaysia, dan mempromosikan mereka di peringkat tempatan dan serantau. Sebagai salah satu penaung utama  bidang seni di rantau Asia, kami berharap untuk memupuk generasi pelukis akan datang dan membantu merealisasikan impian mereka.”

Penyertaan kini dibuka untuk pertandingan 2022 UOB POY (Malaysia)

Seperti tahun lepas, serahan penyertaan akan diterima secara digital. Permohonan akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Julai 2022. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Pemenang anugerah 2022 UOB Painting of the Year (Malaysia) akan diumumkan di majlis anugerah pada Oktober 2022.

Pemenang utama negara akan menerima RM100,000 dan berpeluang untuk bertanding dalam anugerah berprestij UOB POY Asia Tenggara dan memenangi wang tunai US$10,000. Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di www.UOBandArt.com.

Pemenang pertandingan 2021 UOB POY (Malaysia), Encik Saiful Razman, dan karya seni beliau yang bertajuk, Walk in Silence, Don’t Walk Away in Silence, telah memenangi Anugerah 2021 UOB POY Asia Tenggara, menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama untuk memenangi anugerah serantau yang menjadi rebutan. Karya seni kemenangan beliau telah dipilih daripada jumlah tertinggi penyertaan yang diterima oleh pertandingan dalam sejarah 40 tahunnya.

Panel hakim pertandingan 2022 UOB POY (Malaysia) termasuk:

  1. Puan Bibi Chew, Panel Penasihat Industri (Seni Visual) untuk CENDANA Malaysia serta Ketua Ilustrasi dan Pensyarah Kanan di Institut Seni Malaysia (MIA)
  2. Encik Choy Chun Wei, pelukis kontemporari terkemuka Malaysia, di mana karya seni beliau telah dipamerkan di peringkat antarabangsa di China, Hong Kong SAR, Amerika Syarikat, Pakistan, Singapura dan United Kingdom.
  3. Encik Ahmad Fuad Osman, pelukis kontemporari terkemuka Malaysia dan hakim Anugerah Muda Sezaman Balai Seni Negara.

Pemenang alumni UOB POY (Malaysia) dipilih untuk program residensi di China dan Jepun Sebagai galakan kepada para pelukis untuk terus mempelopori pengetahuan dan mengasahi kemahiran artistik mereka, UOB menyediakan pengalaman yang imersif kepada pemenang anugerah melalui program residensi selama sebulan di pelbagai muzium seni berprestij Asia

Encik Saiful akan menyertai program residensi pelukis di Galeri Seni UOB di Shanghai, China sebagai sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun ke-40 pertandingan UOB POY. Sementara itu, Cik Cheng Yen Pheng dan Encik Sabri Idrus, masing-masing pemenang UOB POY (Malaysia) 2019 dan 2020, telah dipilih untuk menghadiri program residensi pelukis di Muzium Seni Asia Fukuoka yang terkenal di Jepun. Pemenang alumni ini akan berpeluang mempelajari budaya seni negara tuan rumah masing-masing dan pelbagai pendekatan kepada penciptaan seni.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.