Malaysia Kaji Semula Dasar Eksport Kek Isirung Sawit

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mengkaji semula dasar eksport  kek isirung sawit (PKC) yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.

“Kajian menunjukkan memberi makan PKC yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak.

KPPK juga akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang, katanya.

Zuraida berkata harga ayam meningkat disebabkan antaranya harga makanan ayam yang tinggi malah dilaporkan harga makanan ayam telah melonjak daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan dalam beberapa kes.

“Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam.

“Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata KPPK juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk meneliti dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.

“Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC,” katanya.

Beliau berkata dengan semangat Keluarga Malaysia, KPPK akan terus komited untuk melaksanakan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport.

“Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/malaysia-kaji-semula-dasar-eksport-kek-isirung-sawit/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA