Malaysia, Microsoft Umum Kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation

Kredit gambar: https://news.microsoft.com

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Kerajaan Malaysia dan Microsoft hari ini mengumumkan kerjasama MyDIGITAL GovTech Innovation, sebagai komitmen terhadap inovasi, kemahiran digital dan membina daya tahan ekonomi untuk Malaysia.

Pengumuman ini adalah susulan daripada Surat Hasrat (LoI) yang ditandatangani antara Microsoft dan MyDIGITAL Corporation sempena kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Amerika Syarikat pada Mei 2022.

Dalam kenyataan hari ini, Microsoft berkata LoI mengenal pasti bidang kerjasama yang berkenaan termasuk membangunkan keupayaan keselamatan siber, menggalakkan penggunaan teknologi digital oleh sektor awam dan memupuk bakat mahir untuk mengembangkan ekonomi digital.

Bagi meneruskan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, Microsoft dan agensi-agensi utama kerajaan seperti MyDIGITAL Corporation dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan menyediakan latihan untuk kakitangan sektor awam untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran digital, lantas menyokong aspirasi negara untuk mencapai pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan inisiatif itu bagi pihak kerajaan, berkata peranan perkhidmatan awam Malaysia penting untuk membina daya tahan ekonomi negara dalam suasana yang mencabar ini.

“Kerjasama jangka panjang kami dengan Microsoft akan membolehkan perkhidmatan awam beroperasi secara lebih inovatif, berpandukan data dan bertumpukan rakyat untuk mencari penyelesaian dan merangka dasar-dasar berkesan.

“Inisiatif seperti ini adalah satu langkah penting untuk melengkapkan Malaysia dengan keupayaan untuk membangunkan ekonomi yang mendahulukan digital.

“Kami mengalu-alukan sumbangtara berterusan Microsoft sebagai rakan teknologi dan ilmu pengetahuan kepada Malaysia, termasuk komitmen mereka untuk melatih 300,000 orang menjelang 2024 dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp),” katanya.

Mustapa berkongsi bahawa inisiatif yang diumumkan hari ini menandakan satu lagi mercu jaya dalam kerjasama kerajaan Malaysia dengan Microsoft, dalam usaha mencapai sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Katanya sasarannya termasuk 80 peratus penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada 2022 dan mencapai tahap celik digital 100 peratus dalam kalangan penjawat awam dan menyediakan perkhidmatan kerajaan dalam talian serba lengkap pada tahap 80 peratus menjelang 2025.

Menurut Microsoft, pengumuman hari ini turut menyokong Rangka Kerja Teknologi Awan (CFA) yang ditandatangani antara syarikat dan MAMPU baru-baru ini, untuk membina rangkaian awan yang boleh dipercayai dan memperkasakan sektor awam di Malaysia untuk mencapai transformasi digital.

Naib Presiden Eksekutif dan Presiden, Kerjasama Transformasi Negara, Microsoft Jean-Philippe Courtois berkata misi syarikat ialah memperkasakan setiap orang dan setiap organisasi di muka bumi untuk mencapai lebih lagi.

“Semua orang mesti menikmati manfaat teknologi. Usaha ini jelas dilihat daripada komitmen kami kepada Malaysia. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 Microsoft bertapak di Malaysia dan kami berbesar hati untuk meraikannya bersama rakan-rakan kerjasama kami dari kerajaan Malaysia. 

“Microsoft bertekad meneruskan kerjasama kami untuk membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran dan keupayaan kami dalam bidang teknologi bagi memacu pertumbuhan terangkum dan membina daya tahan dalam era digital,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/malaysia-microsoft-umum-kerjasama-mydigital-govtech-innovation/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.