Tiada Perubahan Pada Konstituen FBM KLCI Selepas Semakan Semula Separuh Tahunan

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) — FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd hari ini mengumumkan bahawa tiada sebarang perubahan kepada konstituen FBM KLCI, susulan semakan semula separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia.

Siri indeks disemak semula setiap separuh tahunan mengikut peraturan asas indeks.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata senarai rizab FBM KLCI, yang terdiri daripada lima bukan konstituen tertinggi indeks mengikut permodalan pasaran, ialah Westports Holdings Bhd, QL Resources Bhd, AMMB Holdings Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Gamuda Bhd.

“Senarai rizab itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dikeluarkan daripada FBM KLCI mengikut peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga semakan semula separuh tahunan berikutnya,” katanya.

Sementara itu, ia berkata lapan konstituen baharu akan ditambah kepada Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70, iaitu AEON Co (M) Bhd, Boustead Plantations Bhd, Chin Hin Group Bhd, Farm Fresh Bhd, Hengyuan Refining Company Bhd, Hextar Global Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd dan Ta Ann Holdings Bhd.

Akibatnya, Allianz Malaysia Bhd, ATA IMS Bhd, Cahya Mata Sarawak Bhd, GDEX Bhd, Hong Leong Industries Bhd, Magnum Bhd, Sapura Energy Bhd dan YTL Hospitality REIT akan dikeluarkan daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70, katanya.

Bagi Indeks Syariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, dua konstituen baharu akan ditambah – FGV Holdings Bhd dan Sunway Bhd – manakala Inari Amertron Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd akan dikeluarkan daripada indeks.

“Semua perubahan konstituen berkuat kuasa pada permulaan perniagaan 20 Jun. Semakan semula seterusnya akan dilakukan pada Disember 2022,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai semakan semula Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, termasuk semua penambahan dan yang dikeluarkan serta peraturan asas, lawati https://www.ftserussell.com/products/indices/bursa-malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.