KPPK Saran Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mohon Insentif Yang Ditawarkan Kementerian

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon insentif yang ditawarkan di bawah kementerian iaitu Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank – MPOB)

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.

“Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini selaras dengan polisi kerajaan mengenai pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit, dengan had penanaman tidak melebihi 6.5 juta hektar.

Penanaman berselang ini juga boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran sawit.

Kementerian itu yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara, katanya.

Menteri itu menambah mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan dari mana-mana pejabat TUNAS MPOB seluruh negara dan permohonan ini dibuka kepada mereka yang memiliki 6.5 hektar ladang kelapa sawit atau kurang.

Sementara itu, Zuraida berkata di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank – MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka.

“Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah dua peratus,” jelasnya.

Pinjaman itu bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.

“Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang,” kata Zuraida.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kppk-saran-pekebun-kecil-kelapa-sawit-mohon-insentif-yang-ditawarkan-kementerian/

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.