Proses Permintaan Bayaran Balik Akibat Covid-19 Hampir Selesai, Kata AirAsia Aviation Group

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), cabang penerbangan Capital A menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan semua permintaan bayaran balik akibat pandemik, secepat mungkin.

Syarikat penerbangan di bawah AAAGL dalam kenyataan hari ini berkata, mereka telah menyelesaikan hampir 99 peratus daripada pertanyaan tetamu berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8 peratus dalam masa terdekat.

Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) turut mempunyai rancangan kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua tetamu yang terkesan sejak dua tahun lepas berikutan COVID-19, dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas.

“Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai tetamu telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami.

“AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.

“Bagaimanapun, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para tetamu yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TAAX juga turut terkesan dengan pandemik dan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada tetamu melalui bayaran balik dan pemberian kredit.

Sehingga kini, majoriti daripada semua tetamu yang terjejas telah menerima baucar perjalanan mereka, melibatkan lebih 155,000 tetamu.

 AAX menyasarkan untuk menyelesaikan baki baucar perjalanan sebanyak 30 peratus lagi dalam beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Berita asal : https://thekapital.my/proses-permintaan-bayaran-balik-akibat-covid-19-hampir-selesai-kata-airasia-aviation-group/

Previous ArticleNext Article

Penstrukturan Semula Subsidi Dilaksana Secara Terkawal, Bersasar – MOF

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Penstrukturan semula subsidi dilaksanakan secara terkawal dan bersasar supaya tidak membebankan sebahagian besar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disasarkan dengan lebih tepat, mengurangkan ketirisan serta memastikan sumber fiskal digunakan secara lebih cekap dan progresif.

“Penstrukturan semula subsidi dari perspektif makroekonomi tidak mencetuskan tekanan harga yang meluas.

“Kadar inflasi berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan trend menurun daripada 2.5 peratus pada 2023 kepada 1.8 peratus pada 2024 dan seterusnya 1.4 peratus pada 2025,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.

MOF menjawab soalan Senator Datuk Halim Suleiman mengenai impak sebenar penstrukturan semula subsidi terhadap kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Merujuk kepada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, iaitu instrumen statistik negara dalam menilai corak pendapatan, kementerian itu berkata perbelanjaan serta tahap kesejahteraan sosioekonomi isi rumah, purata perbelanjaan bulanan isi rumah B40 dan M40 antara 2022 hingga 2024 menunjukkan peningkatan yang sederhana.

MOF berkata pemerhatian bagi satu daripada kategori perbelanjaan iaitu pengangkutan bagi kumpulan B40 meningkat secara terkawal daripada sekitar RM311 kepada RM320 sebulan antara tahun 2022 hingga 2024.

Sementara itu, bagi kumpulan M40 ia meningkat daripada sekitar RM575 kepada RM606 sebulan dalam tempoh yang sama.
— BERNAMA