Pengeluaran Getah Asli Malaysia Susut 20 Peratus Pada April 2022

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia merosot 20 peratus kepada 22,498 tan pada April 2022 berbanding 28,106 tan pada Mac, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan hari ini berkata pengeluaran NR berkurangan sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding 23,013 tan pada April 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran komoditi itu pada April 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.1 peratus) berbanding sektor estet (11.9 peratus).

Jumlah stok NR pada April 2022 menurun sebanyak 4.1 peratus kepada 297,673 tan berbanding 310,433 tan pada Mac 2022, katanya.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (7.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata eksport NR Malaysia berjumlah 58,755 tan pada April 2022, meningkat 10.2 peratus berbanding 53,328 tan pada Mac 2022.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 39.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2022, diikuti Amerika Syarikat (11.3 peratus), Finland (4.5 peratus), Mesir (3.2 peratus) dan Iran (2.5 peratus),” katanya.

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Beliau berkata produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 bilion pada April 2022, meningkat 8.6 peratus berbanding RM2.0 bilion pada Mac 2022.

Mohd Uzir berkata sentimen penurunan pasaran getah disumbangkan oleh kerugian di pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan situasi lembap akibat sekatan ketat COVID-19 di China, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, kekurangan cip di peringkat global yang berterusan serta tekanan inflasi seperti dihuraikan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada April 2022.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pengeluaran-getah-asli-malaysia-susut-20-peratus-pada-april-2022/

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.