Pengilang Sawit Henti Operasi, MPOB Keluar Surat Peringatan

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini telah mengeluarkan surat peringatan kepada pengilang-pengilang sawit susulan tindakan menghentikan operasi berikutan kejatuhan mendadak harga minyak makan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata surat itu memberi peringatan kepada pengilang agar menjalankan aktiviti sektor pengilangan buah kelapa sawit dan pematuhan kepada keperluan perundangan di bawah Akta Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

Katanya pengilang yang terlibat juga bakal berdepan dengan penggantungan lesen sekiranya terbukti melakukan perbuatan itu. 

“Saya ingin memberi peringatan tegas berkaitan tindakan yang telah diambil oleh pengilang berkenaan sehinggakan menjadikan maksud asal lesen itu dikeluarkan tidak lagi wujud.

“Saya memandang serius akan perkara ini dan meminta supaya aktiviti memproses buah tandan segar (BTS) dan mengilang tidak akan terhenti, sebagaimana yang dinyatakan di dalam lesen yang dikeluarkan bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, beliau berkata tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi sekali gus tidak membeli BTS secara tidak langsung mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun kecil. 

— BERNAMA 

Artikel asal: https://thekapital.my/pengilang-sawit-henti-operasi-mpob-keluar-surat-peringatan/

Previous ArticleNext Article

TotalEnergies Nyatakan Komitmen, Setuju Tingkatkan Pelaburan Di Malaysia – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — TotalEnergies, syarikat pembekal tenaga global yang berpangkalan di Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas di Malaysia. 

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di platform X, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memenuhi jemputan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne untuk bertemu di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF). 

“TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia, antaranya tenaga boleh baharu, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.

“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri kini berada di Riyadh, Arab Saudi dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Baru-baru ini, TotalEnergies menandatangani perjanjian dengan Sapura Upstream Assets Sdn Bhd (SUA) untuk mengambil alih 50 peratus kepentingannya dalam pengeluar dan pengendali gas bebas di Malaysia SapuraOMV Upstream Sdn (SapuraOMV) dengan nilai US$530 juta, tertakluk kepada pelarasan yang dimuktamadkan.

Aset utama SapuraOMV adalah 40 peratus kepentingan kendaliannya dalam blok SK408 dan 30 peratus kepentingan kendalian dalam blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak.

SapuraOMV juga memegang kepentingan dalam lesen penerokaan di Malaysia, Australia, New Zealand dan Mexico, serta penemuan dibuat pada 2023 di blok 30.

TotalEnergies memiliki kepentingan dalam dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dalam fasa penerokaan dan menandatangani perjanjian pada Jun 2023 dengan Petronas dan Mitsui untuk membangunkan projek penyimpanan karbon di Asia Tenggara dan menilai beberapa tapak penyimpanan CO2 di Malay Basin.

Sementara itu, Anwar berkata beliau dan delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia di Mesyuarat Khas WEF.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Antara syarikat yang menyertai sesi ini termasuklah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, http://OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

“Ruang ini saya gunakan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.

“Sesi ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Saya memberi jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.

“Saya percaya lebih ramai pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA,” kata beliau.

— BERNAMA