Harga Siling Baharu Ayam, Telur Bantu Kekang Kenaikan Ketara Inflasi Makanan – MIDF Research

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Langkah kerajaan menetapkan harga siling runcit baharu bagi ayam dan telur dapat membantu mengekang pelarasan lebih besar yang meningkatkan lagi inflasi makanan secara menyeluruh, kata MIDF Research.

Menurutnya, ini penting memandangkan inflasi makanan tersebut telah mencecah paras tinggi untuk beberapa tahun berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mei 2022.

“Sebagai contoh, harga siling baharu ayam pada RM9.40 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia yang meningkat sebanyak 5.6 peratus daripada paras sebelumnya pada RM8.90 sekilogram.

“(Jumlah) itu lebih kecil daripada jangkaan kenaikan sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram jika harga ayam diapungkan,” katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

MIDF Research juga menyifatkan keputusan Lembaga Pertubuhan Peladang untuk mengimport 4,500 tan ayam dari Thailand berupaya menstabilkan bekalan ayam di pasaran domestik selain mengehadkan tekanan kenaikan harganya pada masa ini.

“Bagi tempoh-tempoh seterusnya, kami menjangkakan kerajaan akan terus meninjau lebih banyak inisiatif untuk meredakan tekanan kenaikan harga makanan untuk jangka panjang,” katanya.

Mengulas prospek inflasi, MIDF Research mengunjurkan inflasi IHP itu sekitar 2.8 peratus pada 2022, meningkat daripada 2.5 peratus pada tahun lepas dengan mengambil kira inflasi makanan yang lebih pantas selain peningkatan berterusan dalam aktiviti perbelanjaan domestik bagi tahun ini.

Semalam, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai ini.

Serentak dengan keputusan itu, harga runcit telur ayam ditetapkan pada kadar 45 sen sebiji untuk gred A manakala gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen) di Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/harga-siling-baharu-ayam-telur-bantu-kekang-kenaikan-ketara-inflasi-makanan-midf-research/

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian