Khazanah Nasional Melabur Dalam Syarikat Teknologi

Syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad telah pun melabur sebanyak $1 billion US Dolar (RM4.22 billion) ke dalam 25 syarikat teknologi global selepas melihat potensi besar di dalam melabur ke dalam syarikat e-dagang gergasi daripada China, Alibaba.

Menurut Pengarah Urusannya, Tan Sri Dato’ Azman Mokhtar yang berkata, sebagai agensi pelaburan strategik kerajaan, Khazanah telah membuat pelaburan secara aktif dalam syarikat teknologi.

Sumber: Khazanah Research Institute

“Kami telah membuat pelaburan yang baik dalam Alibaba dan mempunyai keuntungan belum direalisasi berjumlah AS$1.4 bilion (RM5.92 bilion),” katanya kepada pemberita pada majlis Forum Megatrend Khazanah 2017 (KMF 2017) di sini hari ini.

Azman berkata, Khazanah akan terus menyeimbangkan portfolio pelaburan bagi faedah negara bukan sahaja dari segi kewangan.

“Pada masa sama, kami bercakap mengenai usaha membina melalui nilai kerana kita membantu membangunkan negara sejajar dengan peranan kami sebagai agen strategik yang mana nilai bukan sahaja kewangan tetapi juga dari segi ekonomi, strategik dan masyarakat,” katanya.

Secara purata kata beliau, Khazanah melabur dalam tidak lebih daripada 20 syarikat setahun.

Bagi setiap keputusan pelaburan katanya, Khazanah akan menilai antara 30 dan 50 potensi pelaburan.

Menurutnya, beliau menjangka Bajet 2018 akan mempunyai beberapa inisiatif bagi merangsang pembangunan teknologi.

Katanya, ia seiring dengan aspirasi kerajaan untuk rancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berusaha keras untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi pembangunan masa depan.

“TN50 adalah sesuatu yang sedang dilaksana kerajaan. Khazanah juga menyumbang kepada proses ini untuk masa depan, yang mana kami mahu menggunakan teknologi terbaik bagi menghasilkan pembangunan lebih baik kepada setiap orang,” katanya.

KMF 2017 yang bertemakan ‘Serebrum vs Algoritma: Membina Nilai Sebenar Dalam Dunia Pasca Kebenaran’, meneroka hubungan antara kecerdasan buatan (algoritma) dan kecerdasan manusia (serebrum) dan cara-cara menggunakan hubungan yang dapat memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat.

Bajet 2018 Dan Tempiasnya Kepada Sektor Teknologi

Bajet 2018 yang dijangka akan dibentangkan pada 27 Oktober 2017 ini, diharapkan ia akan memberi lebih banyak impak positif kepada sektor teknologi khususnya dan negara Malaysia pada keseluruhannya.

Kebanyakan daripada responden inginkan internet yang laju dengan kadar yang lebih murah, serta peningkatan daripada segi sistem telekomunikasi.

Sumber: NajibRazak.com

Dengan adanya internet yang semakin meluas, laju dan berpatutan – sudah semestinya lebih ramai akan beralih arah kepada ekonomi digital. Dan akhirnya syarikat-syarikat teknologi tempatan juga yang dapat merasai kebaikannya.

Digital Free Trade Zone (DFTZ) Juga Akan Hangatkan Lagi Sektor Teknologi

Baru saja diumumkan kerjasama di antara Jack Ma dan kumpulan Alibaba beliau, bersama-sama dengan kejaraan Malaysia; banyak harga saham syarikat teknologi tempatan telah melonjak naik. Sila rujuk artikel Kedatangan Jack Ma Dan Kesannya Kepada Malaysia.

Nanti dah siap makin meriahlah sektor teknologi di Malaysia.

Sumber: Utusan Online

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.