Malaysia Mampu Kekalkan Momentum Dagangan, Pacu Pertumbuhan Ekonomi – Azmin

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Malaysia berupaya mengekalkan momentum positif pertumbuhan ekonomi susulan kejayaan mencatat pertumbuhan dua angka bagi jumlah perdagangan sebanyak 43.3 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun 2022 yang mencapai paras tertinggi sebanyak RM270.39 bilion.

Ketika berkongsi keyakinan itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata momentum itu didorong oleh segmen eksport yang dipacu oleh prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

“Dengan keazaman padu dan tanggung jawab bersama, saya yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengekalkan momentum positif dalam menyongsong arus untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara,” kata Mohamed Azmin dalam ciapan menerusi Twitter beliau, hari ini.

Pada Jun lepas, eksport Malaysia meningkat sebanyak 38.8 peratus tahun ke tahun kepada RM146.16 bilion iaitu pengembangan untuk bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import melonjak 49.3 peratus tahun ke tahun kepada RM124.23 bilion.

Dalam ciapan seterusnya, Mohamed Azmin turut mengulas laporan berita mengenai Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah (Eurocham) Malaysia berkenaan pemindahan teknologi automasi terkini dari Eropah ke Malaysia secara berterusan.

Pada 22 Julai, Eurocham Malaysia berkata komuniti perniagaan Eropah berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menyokong pemulihan perniagaan secara aktif serta menangguhkan syarat bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan ditempatkan dalam sesebuah syarikat selama dua tahun.

“Sejajar dengan komitmen kita untuk menyokong pemulihan perniagaan secara aktif, MITI mengambil keputusan yang proaktif serta praktikal bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan.

“Kita akan terus melakukan libat urus dan mendengar pandangan pihak berkepentingan bagi memacu pemulihan ekonomi negara menerusi pelbagai aktiviti termasuk sesi dialog dengan dewan perdagangan dan industri dalam memastikan kemakmuran bersama untuk semua,” kata Mohamed Azmin.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-mampu-kekalkan-momentum-dagangan-pacu-pertumbuhan-ekonomi-azmin/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama