Kilang Baharu Samsung SDIEM Bernilai RM7 Bilion Bakal Wujudkan 1,300 Peluang Pekerjaan

SEREMBAN, 21 Julai (Bernama) — Pembinaan kilang baharu Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) di sini dengan nilai pelaburan sebanyak RM7 bilion bakal mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembangunan kilang baharu fasa dua itu melibatkan tujuh bangunan baharu dan stesen sub tambahan elektrik 132 kilovolt (KV) serta dijangka mula beroperasi pada 2025. 

“Saya turut menghargai Samsung, salah satu syarikat elektronik terbesar di dunia dan jenama terkenal yang telah mula beroperasi di Malaysia sejak tahun 1990 lagi.

“Kilang baharu ini yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2025 nanti akan mampu untuk menghasilkan sebanyak 800 juta sel bateri setahun,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu itu yang disiarkan melalui rakaman video di sini hari ini. 

Beliau berkata usaha Samsung SDIEM dan komitmen untuk memenuhi keperluan pasaran global bagi kegunaan kenderaan elektrik dunia adalah satu usaha yang membanggakan buat negara dan rakyat Malaysia secara amnya.

“Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh Samsung dalam membangunkan industri berdasarkan teknologi hijau.

“Hal ini selaras dengan matlamat negara dalam mencapai karbon sifar bersih seawal 2050 sepertimana yang dinyatakan dalam strategi Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi Malaysia, industri ini penting dari segi sumbangan kepada keseluruhan ekosistem EV yang komprehensif.

“Saya yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menyumbang bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDI Co Ltd (Korea Selatan) Choi Yonho berkata hubungan antara Malaysia dan Samsung SDI adalah istimewa berikutan pada Februari 1991, Samsung SDI telah membangunkan kilang luar negara pertamanya di negara ini.

Katanya sejak itu, Samsung SDI telah menjadi syarikat pertama dunia dalam industri tiub sinar katod (CRT).

“Bermula dari 2024, bateri yang dihasilkan ini akan digunakan dalam pelbagai peranti termasuk peralatan elektrik, mobiliti mikro dan kenderaan elektrik yang akan menjadikan seluruh dunia ‘bergerak’ di atas bateri Samsung SDI,” katanya.

Katanya bateri itu menampilkan daya saing teknologi ‘super gap’ Samsung dengan kualiti terbaik, dikenali sebagai ‘PRiMX’, jenama asal Samsung SDI yang akan dihasilkan ratusan juta setiap tahun selain dieksport ke seluruh dunia.

Choi berkata pihaknya akan menjadikan Samsung SDIEM sebagai sebuah pusat industri bateri global melalui kerjasama semua warga kerja Samsung SDI, kerajaan Malaysia dan syarikat rakan kongsi.

“Di samping itu, selaras dengan strategi pengurusan berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Samsung SDI patuh dalam menunaikan tanggungjawab sosial kami terhadap alam sekitar, keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Samsung SDI merupakan sebuah anak syarikat di bawah Samsung Group di Korea yang memulakan pelaburannya di Malaysia sekitar 1990 melalui penubuhan syarikat Samsung Electron Devices Malaysia dalam sektor pembuatan CRT untuk televisyen.

Sejak penubuhan Samsung SDIEM pada November 2011 hingga Mei 2022, Samsung telah membuat pelaburan berjumlah RM3.8 bilion sekali gus menyumbang kepada kadar eksport tahunan Malaysia sebanyak RM2.5 bilion.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kilang-baharu-samsung-sdiem-bernilai-rm7-bilion-bakal-wujudkan-1300-peluang-pekerjaan/

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.