Bursa Malaysia Rekod Aliran Masuk Bersih Selepas Enam Minggu Catat Aliran Keluar Asing

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM191.3 juta minggu lepas selepas menyaksikan aliran keluar asing bersih selama enam minggu berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguan hari ini, unitnya MIDF Research menyatakan pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari pada sesi urus niaga minggu lepas.

“Hari Isnin mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM81.7 juta, diikuti Jumaat (RM72.8 juta) dan Khamis (RM21.6 juta),” katanya.

Institusi tempatan bagaimanapun terus menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut,  menjual ekuiti bernilai RM87.0 juta minggu lepas, kata firma penyelidikan itu.

Mereka memulakan minggu berkenaan dengan jualan bersih sebanyak RM60.2 juta pada hari Isnin dan RM19.3 juta pada hari Selasa.

“Institusi tempatan ini kemudiannya membeli (untuk seketika) sebanyak RM5.6 juta pada Rabu dan RM0.8 juta pada Khamis, sebelum beralih menjadi penjual bersih semula pada hari Jumaat dengan menjual sebanyak RM14.0 juta,” katanya.

Sementara itu, peruncit tempatan telah mengakhiri kegiatan pembelian bersih berterusan mereka minggu lalu selepas menjual bersih ekuiti  berjumlah sehingga RM104.2 juta. Mereka dilihat menjual bersih setiap hari kecuali pada Selasa dengan bersih membeli ekuiti berjumlah sehingga RM4.2 juta.

“Urus niaga Jumaat turut menyaksikan aliran keluar bersih terbanyak daripada peruncit yang berjumlah sehingga RM58.8 juta,” kata MIDF Research.

Dari segi sektor, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur  asing ialah perkhidmatan kewangan, teknologi dan utiliti masing-masing pada RM141.9 juta, RM39.2 juta dan RM37.5 juta.

“Hanya dua sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing — produk dan perkhidmatan perindustrian pada RM145.6 juta dan pengangkutan RM2.5 juta,” katanya.

Menurut MIDF Research, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 18 daripada 29 minggu tahun 2022 setakat ini, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih RM6.11 bilion.

Manakala institusi tempatan pula adalah penjual bersih selama 22 daripada 29 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.89 bilion dan peruncit tempatan sebagai pembeli bersih selama 19 minggu, merekodkan aliran masuk bersih RM1.78 bilion.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam  kalangan semua kelas pelabur.

Ia menambah pelabur runcit menyaksikan pertumbuhan dalam ADTV sebanyak 40.8 peratus, manakala pelabur institusi dan asing pula mencatatkan pertumbuhan masing-masing 47.0 peratus dan 42.4 peratus.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bursa-malaysia-rekod-aliran-masuk-bersih-selepas-enam-minggu-catat-aliran-keluar-asing/

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.