Harga MSM Diunjurkan RM5,000 Hingga RM5,500 Satu Tan Pada Suku Keempat 2022 – Zuraida

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia diunjurkan meningkat dengan mencecah RM5,000 hingga RM5,500 satu tan pada suku keempat 2022, kata Menteri Perusahaan Perladangaan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata ini memandangkan sebaik berakhirnya Ogos, Indonesia akan melaksanakan semula larangan eksport minyak sawit mulai 1 Sept 2022 selain didorong jangkaan penyusutan pengeluaran minyak sawit pada suku keempat.

“Langkah terbaru Jakarta membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos depan dalam usaha negara itu meningkatkan eksport komoditi dan mengurangkan inventori yang tinggi secara tidak langsung akan terus menekan harga MSM. Harga dijangka kekal lemah untuk sebahagian besar suku ketiga 2022.

“Malaysia tidak dapat mengelak tekanan ke atas harga MSM memandangkan kita sedang berhadapan dengan saingan yang kuat dari Indonesia — negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia — yang sedang giat berusaha ‘membersihkan’ sebanyak mungkin tangki simpanan bekalan minyak sawit mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata harga MSM meningkat sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 satu tan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM4,061.50 satu tan bagi tempoh sama 2021.

Harga MSM lebih tinggi bagi enam bulan pertama 2022 itu dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya yang lebih tinggi di pasaran global, katanya.

Beliau berkata harga minyak sawit turut dipengaruhi oleh prestasi harga minyak sayuran lain, khususnya minyak kacang soya kerana kedua-dua hasil tani ladang ini bersaing dalam pasaran minyak sayuran dunia.

“Faktor lain ialah stok simpanan minyak sawit kekal pada tahap terurus di bawah 2.0 juta tan bagi tempoh Januari-Jun 2022; harga minyak mentah Brent lebih kukuh di pasaran global menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik untuk bahan mentah biodiesel selain kebimbangan mengenai gangguan ke atas bekalan minyak sayuran dari wilayah Laut Hitam susulan pencerobohan Rusia di Ukraine,” katanya.

Zuraida berkata harga purata MSM bagi suku ketiga 2022 diunjurkan pada RM4,800 hingga RM5,200 satu tan manakala untuk rekod, harga harian MSM susut kepada RM3,631.50 satu tan atau 24.9 peratus pada 15 Julai 2022, daripada RM4,838.50 satu tan pada 1 Julai, 2022.

Harga MSM yang rendah dipengaruhi faktor antaranya harga minyak kacang soya yang lebih rendah ekoran kekurangan pengeluaran oleh negara pengeluar utama berikutan faktor cuaca; di samping eksport minyak sawit lebih rendah pada Jun 2022 kerana saingan Indonesia yang melonggarkan larangan eksport untuk menggalakkan penghantaran keluar komoditi berkenaan dalam usahanya mengurangkan inventori yang tinggi, katanya

“Selain itu berlakunya peningkatan bekalan minyak sayuran dunia susulan keputusan Indonesia melonggarkan larangan eksport minyak sawitnya serta pengeluaran MSM yang lebih tinggi pada Jun 2022 selaras dengan pusingan musim,” katanya.

Beliau berkata pihaknya giat memantau perkembangan industri sawit dan akan terus memastikan minyak sawit iaitu komoditi utama Malaysia, terus kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi untuk manfaat semua, terutamanya pekebun kecil dan peserta industri di negara ini.

“Kementerian ini akan terus melaksanakan peranan utama di peringkat global untuk menyebarkan kebaikan serta manfaat minyak sawit. Kementerian juga tidak akan berhenti berusaha menyanggah dan memperbetulkan sebarang salah tanggapan yang disebar untuk memburukkan kebaikan minyak sawit melalui kempen antiminyak sawit yang digerakkan pihak tertentu.

“Saya sendiri telah mengetuai pelbagai misi dagangan ke beberapa negara dan bertemu pemain-pemain industri di sana untuk memberi penjelasan dan meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai pelbagai manfaat dan kegunaan minyak sawit, selain digunakan sebagai minyak masak,” katanya.

Zuraida berkata bukan itu sahaja, kementerian menerusi agensi dan majlis di bawahnya turut akan mengadakan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) bermula 26 hingga 28 Julai, 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini yang akan melibatkan penyertaan dari 39 negara.

Ia merupakan antara usaha untuk memartabatkan sektor agrokomoditi negara sekali gus dapat mempromosikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi aktiviti agrokomoditi, katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/harga-msm-diunjurkan-rm5000-hingga-rm5500-satu-tan-pada-suku-keempat-2022-zuraida/

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA