Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Kukuh Pada Suku Kedua Tahun Ini – PM Ismail Sabri

PETALING JAYA, 28 Julai (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun ini, disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi termasuk perdagangan yang meningkat sebanyak 43.4 peratus kepada paras tertinggi baharu berjumlah RM270.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, eksport turut meningkat sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion manakala import melonjak 49.3 peratus kepada RM124.2 bilion.

“Pasaran buruh juga lebih baik dan kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus pada Mei berbanding 5.0 peratus pada bulan sama pada 2020,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ismail Sabri berkata jualan perdagangan borong dan runcit turut mencatat peningkatan sebanyak 19.9 peratus pada Mei lepas manakala jualan sektor pembuatan menokok sebanyak 15.7 peratus bagi tempoh sama.

Perdana Menteri menyifatkan prestasi ekonomi yang baik itu turut disokong oleh dasar-dasar kerajaan yang konsisten terutamanya inisiatif di bawah Bajet 2022, pakej rangsangan dan bantuan-bantuan lain yang diperkenalkan.

“Ekonomi kita kini terus mencatatkan pemulihan sepanjang negara berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik selepas dua tahun berdepan ancaman COVID-19.

“Di sebalik pandemik itu pula diikuti dengan kenaikan harga barangan dan inflasi akibat gangguan rantaian bekalan global serta krisis geopolitik serantau…Alhamdulillah prestasi ekonomi dan perdagangan negara terus kekal utuh,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, bagi suku pertama 2022, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.0 peratus disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

Bagi tempoh sama, sejumlah RM42.8 bilion pelaburan telah diluluskan yang melibatkan sebanyak 910 projek dan mewujudkan 24,906 peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia, kata beliau.

Malah, Ismail Sabri berkata, agensi penarafan antarabangsa global, S&P juga telah menaik taraf prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil, sekali gus memaparkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kredit dan kemampuan negara ini mengharungi cabaran fiskal selepas pandemik.

Mengulas majlis malam ini, beliau meminta ahli-ahli NCCIM agar peka dan mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan-peraturan perburuhan supaya kekal berdaya saing di pasaran sedia ada serta meluaskan lagi potensi di pasaran baharu. 

Menurutnya, ini selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu negara berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dengan tumpuan utama untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memastikan kelestarian pengeluaran dan operasi perniagaan, termasuk mematuhi standard perburuhan antarabangsa.

–BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pertumbuhan-ekonomi-malaysia-dijangka-terus-kukuh-pada-suku-kedua-tahun-ini-pm-ismail-sabri/

Previous ArticleNext Article

Samsung Bakal Pintas NVIDIA Menjadi Syarikat Paling Untung Di Dunia?

Zaman sekarang, sebut sahaja pasal AI, semua orang akan pandang kepada NVIDIA. Memang tak dinafikan, NVIDIA sekarang adalah ‘King’ dengan keuntungan mencecah $99.2 bilion berbanding Samsung yang sekadar $30.5 bilion.

Namun, penganalisis ekonomi mula nampak satu peralihan kuasa yang besar. Menjelang tahun 2027, Samsung diramal bakal memintas NVIDIA dengan unjuran keuntungan yang luar biasa:

  • Samsung: $331 Bilion (~RM1.4 Trilion)
  • NVIDIA: $329 Bilion (~RM1.39 Trilion)

Dunia sekarang tengah ‘demam’ AI. Memang betul NVIDIA yang buat cip AI (GPU), tapi ramai yang terlepas pandang satu fakta penting: Cip AI NVIDIA tak boleh berfungsi tanpa memori yang dihasilkan oleh Samsung.

Ibarat NVIDIA buat enjin Ferrari yang paling laju, tapi Samsung pula yang pegang stok minyak petrol gred tinggi. Bila permintaan AI mencanak, bekalan memori pula tak cukup, maka harga memori dijangka naik mencacak. Di situlah Samsung akan ‘makan besar’.

Selain itu, Samsung mempunyai kelebihan. Mereka bukan setakat jual cip, mereka buat telefon, skrin OLED, hingga ke perkakas rumah. Bila semua benda mula letak AI, Samsung untung di setiap penjuru. Malah, kontrak terbaharu membekalkan skrin untuk iPhone Foldable selama 3 tahun juga bakal memberi margin ‘kayangan’ kepada mereka.

Prestasi Luar Biasa Q1 2026: Rekod Sejarah Terpecah!

Bukan sekadar ramalan kosong, Samsung baru sahaja membuktikan kehebatan mereka dalam laporan suku pertama (Q1) 2026. Walaupun dunia risau dengan ketidakstabilan di Asia Barat, permintaan cip AI nampaknya jauh lebih kuat.

Berdasarkan laporan awal (preliminary earnings):

  • Untung Operasi Q1: 57.2 trilion won (~$37.9 bilion USD).
  • Lonjakan: Naik 755% berbanding tempoh yang sama tahun 2025!
  • Fakta Menarik: Keuntungan Q1 2026 ini sahaja sudah mengatasi keseluruhan keuntungan tahunan mereka bagi tahun lepas.

Pendorong utama sudah tentu ‘Semiconductor Super-Boom’. Harga DRAM dan NAND melonjak hampir 90% berbanding suku sebelum ini. Bahagian semikonduktor sahaja dianggarkan menyumbang lebih 50 trilion won kepada keuntungan syarikat.

Supaya senang faham, bayangkan komputer atau telefon pintar kita ni macam sebuah pejabat:

  • DRAM (Dynamic Random Access Memory): Ibarat MEJA. Lagi besar meja, lagi banyak kerja/app kita boleh buka serentak tanpa hang. Bila kita tutup komputer, “meja” ni akan kosong balik. Dalam dunia AI, “meja” ni kena besar gila sebab AI buat pengiraan yang sangat banyak dalam satu masa.
  • NAND (Flash Memory): Ibarat STOR. Ini tempat simpan segala gambar, video, dan dokumen kita secara kekal walaupun komputer ditutup. Semua pusat data (Data Center) dunia perlukan “stor” yang sangat besar dan laju untuk simpan data AI.

Dengan nilai pasaran yang kini melepasi $1 trilion, Samsung kini sedang memecut laju untuk memintas syarikat-syarikat yang berada jauh di atasnya dalam ranking aset dunia.

Walaupun Samsung diramal akan menjadi syarikat paling untung, mereka tetap perlu berwaspada dengan SK Hynix dan Micron yang turut berebut kontrak membekalkan memori kepada NVIDIA. Micron adalah wakil tunggal dari Amerika Syarikat dalam liga gergasi memori. Disebabkan isu politik Amerika Syarikat-China, banyak syarikat seperti Microsoft dan Google lebih selesa membeli dari Micron atas faktor keselamatan.

Apa Kesannya Kepada Pelabur Di Malaysia?

Kita sebagai pelabur, ini adalah isyarat jelas bahawa sektor teknologi belum lagi mahu ‘berehat’. Kerajaan Malaysia sekarang bersungguh-sungguh menarik pelaburan Pusat Data (Data Center) dari Microsoft, Google dan Amazon masuk ke Johor dan Selangor.

Pusat-pusat data ini memerlukan beribu-ribu rak pelayan (servers). Dalam server itu ada cip NVIDIA, dan dalam cip itu ada memori Samsung.

Rantaian bekalan ini akan memberi kesan limpahan (spillover effect) kepada syarikat-syarikat OSAT tempatan seperti:

  1. Inari Amertron: Pakar dalam pemasangan dan pengujian cip komunikasi.
  2. Malaysian Pacific Industries (MPI): Banyak terlibat dalam pembungkusan cip untuk automotif dan pusat data.

Selain itu, pelaburan besar Samsung SDI di Seremban juga membuktikan Malaysia adalah rakan strategik utama dalam ekosistem global mereka.

Kesimpulan

Adakah Samsung akan benar-benar menumbangkan NVIDIA dari takhta syarikat paling untung di dunia menjelang 2027? Berdasarkan prestasi ‘ganas’ mereka di awal 2026 ini, jawapannya nampak sangat positif.

Apapun, dalam dunia pelaburan, ini semua adalah ramalan dan unjuran data. Realitinya nanti macam mana, entahlah… harap-harap kita sebagai pelabur pun tumpang untung juga!

Sumber: Korea JoongAng Daily: Will Samsung become more profitable than Nvidia?, Investing.com: This tech company is set to overtake Nvidia as the world’s most profitable