Bank Pelaburan Jangka BNM Naikkan OPR Sekurang-Kurangnya 25 bps Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Kalangan bank pelaburan tempatan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini, menjejaki kenaikan kadar 75 bps oleh Rizab Persekutuan (Fed)  Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) dalam nota tinjauannya hari ini berkata, ia mengunjurkan BNM mengekalkan sentimen kecenderungan menaikkan kadar faedah dan meningkatkan OPR sekurang-kurangnya 25 bps pada setiap dua lagi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tahun ini yang dijadualkan pada 7 hingga 8 Sept dan 2 hingga 3 Nov.

Katanya langkah agresif Fed untuk mengurangkan inflasi menunjukkan ia akan terus meningkatkan kadar faedah yang ketara, pada perbelanjaan pertumbuhan.

Menurut Kenanga, di Malaysia, tekanan inflasi semakin meningkat dengan mencatatkan 3.4 peratus lebih tinggi daripada jangkaan pada Jun 2022 berbanding 2.8 peratus pada Mei 2022 berikutan peningkatan permintaan serta perbelanjaan berpuncakan pelancongan susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan sekatan COVID-19 yang dimansuhkan.

“Seiring dengan jangkaan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus dipacu oleh pemulihan permintaan domestik yang lebih kukuh, kami meramalkan BNM mengekalkan kecenderungan menaikkan kadar faedah dan meningkatkan OPR sekurang-kurangnya 25 bps pada setiap dua lagi mesyuarat MPC pada tahun ini,” menurut Kenanga.

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan unjurannya untuk BNM meningkatkan OPR dengan penambahan 25 bps ketika mesyuarat MPC pada September, melabuhkan tirai 2022 dengan OPR 2.5 peratus berbanding kadar semasa 2.25 peratus.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa, peralihan kepada status endemik COVID-19 dan skim pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dijangka menyokong KDNK Malaysia pada suku kedua 2022,” katanya dalam nota berasingan.

Bagi AS, HLIB menjangkakan Fed akan terus meningkatkan kadar faedah dalam masa terdekat walaupun ia sedar kadar faedah yang lebih tinggi mungkin mewujudkan kebimbangan kepada berlakunya kemelesetan berikutan pengeluaran perindustrian merosot sedikit pada Jun, manakala perbelanjaan penggunaan peribadi turut menguncup pada Mei.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bank-pelaburan-jangka-bnm-naikkan-opr-sekurang-kurangnya-25-bps-tahun-ini/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA