Dewan Rakyat Lulus Tujuh Usul Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) — Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan usul supaya kerajaan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) membuat pelaburan dengan menukar baki pinjaman RM969.268 juta yang dicatatkan Felcra Bhd kepada ekuiti melalui pemilikan saham bersamaan 969.268 juta saham biasa dengan nilai RM1 seunit bagi 2022.

Felcra merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata penukaran pinjaman kerajaan kepada pemilikan saham itu bertujuan meningkatkan nilai perniagaan, memperbaiki lembaran imbangan dan nisbah hutang.

Ini bagi membantu Felcra memohon pinjaman daripada institusi kewangan atau pasaran modal untuk membiayai projek komersialnya, dan berupaya beroperasi secara mandiri pada masa akan datang selaras dengan objektif transformasi Felcra, katanya ketika membentangkan usul itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Selain itu, Dewan Rakyat juga meluluskan usul supaya kerajaan memberikan sumbangan US$9 juta kepada Program Penambahan Dana Ke-19 dan US$9 juta lagi kepada Program Penambahan Dana Ke-20 Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata IDA merupakan sebuah agensi di bawah Kumpulan Bank Dunia yang bertanggungjawab memberi geran dan pinjaman jangka panjang tanpa faedah atau dengan kadar faedah yang sangat rendah kepada 76 negara kategori termiskin.

“Malaysia mula menjadi negara penderma semasa pusingan IDA yang ke-17 bagi tempoh 1 Julai, 2014 hingga 30 Jun, 2017 dan meneruskan sumbangan bagi pusingan IDA ke-18 bagi tempoh 1 Julai, 2017 hingga 30 Jun, 2020.

“Sumbangan Malaysia kepada IDA (bagi penambahan dana) ke-17 dan ke-18 masing-masing sebanyak US$27 juta dengan tempoh penunaian selama sembilan tahun. Penunaian untuk IDA (bagi penambahan dana) ke-17 dijangka selesai pada 2023 manakala IDA (penambahan dana) ke-18 dijangka selesai pada 2026,” katanya semasa membentangkan usul itu.

Dewan Rakyat juga, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61), meluluskan usul supaya Jadual Kedua akta tersebut dipinda dengan butiran nama Kumpulan Wang Amanah Majlis Sains Dan Penyelidikan Kebangsaan (MSPK) dijenamakan kepada Endowmen Sains Malaysia (MSE).

Di bawah peruntukan sama, Dewan Rakyat juga meluluskan usul Kementerian Kewangan supaya Jadual Kedua akta tersebut dipinda dengan memotong butiran sedia ada Kumpulan Wang Amanah Tabung Inovasi Negara (KWATIN).

Yamani Hafez berkata matlamat penubuhan KWATIN untuk membolehkan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan kepada 299 projek yang berkaitan.

“Daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM44.24 juta, sebanyak RM24.43 juta telah dibelanjakan sehingga Disember 2014. Kesemua projek berkenaan telah selesai dilaksanakan pada 2014. Maka KWATIN tidak lagi relevan memandangkan tujuan penubuhannya telah tercapai,” katanya.

Beliau juga mengusulkan supaya butiran sedia ada Kumpulan Wang Amanah Pendahuluan Peti Sejuk Sarawak dipotong memandangkan semua kutipan balik pinjaman telah berjaya diselesaikan dan tiada lagi keperluan pembiayaan diberikan mulai 1998.

Kumpulan wang amanah tersebut yang ditubuhkan pada 6 Julai, 1964 bertujuan memberi wang pendahuluan pembelian peti sejuk kepada pegawai kakitangan kerajaan Sarawak yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan di negeri Sarawak, dan pegawai kakitangan kerajaan Persekutuan yang berasal dan berkhidmat di Sarawak.

Mengikut akta yang sama, Yamani turut mencadangkan supaya Jadual Kedua akta itu dipinda dengan butiran nama yang dijenamakan kepada Kumpulan Wang Amanah Kedaulatan Maritim Negara daripada Kumpulan Wang Amanah Projek Pelantar Benua Malaysia (PPBM), di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata penjenamaan semula dan peluasan skop fungsi kumpulan amanah ini juga akan memberi impak dalam usaha untuk mengukuhkan lagi keselamatan dan kedaulatan laut ataupun entiti berdasarkan peta baharu Malaysia.

Yamani Hafez juga telah membentangkan usul supaya kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak US$70,000 Program Penambahan Dana Ke-12 Tabung Antarabangsa Bagi Pembangunan Pertanian (IFAD).

Beliau berkata sebagai negara penderma, Malaysia akan memperoleh kebolehlihatan sekali gus berpeluang berkongsi pengalaman dalam melaksanakan dasar pembangunan khususnya dalam bidang pertanian.

Selain itu, sumbangan tersebut dapat membantu IFAD menyokong sistem makanan yang mampan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kedua iaitu sifar kebuluran dalam kalangan negara yang sedang membangun.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/dewan-rakyat-lulus-tujuh-usul-kementerian-kewangan/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.