Adakah Bapa Wajib Membayar Zakat Fitrah Untuk Anak Yang Masih Bersekolah Tetapi Mempunyai Sumber Pendapatan Sendiri?

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada persoalan. Saya mempunyai seorang anak yang masih bersekolah, tetapi dia sudah pandai mencari pendapatan sendiri menggunakan kemudahan teknologi sekarang dan kadangkala pendapatan yang diperolehi tersebut melebihi pendapatan saya. Soalan saya adalah, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya atas dasar dia di bawah tanggungan saya atau dia perlu keluarkan sendiri zakat tersebut?

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-607: ADAKAH BAPA WAJIB MEMBAYAR ZAKAT FITRAH UNTUK ANAK YANG MASIH BERSEKOLAH TETAPI MEMPUNYAI SUMBER PENDAPATAN SENDIRI? yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan Ringkas

Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah bagi anaknya yang telah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun masih bersekolah kerana keadaan tersebut menyebabkan terputusnya kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahinya. Oleh itu, bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya tentang kewajipan dirinya itu yang perlu ditunaikan. Namun begitu, seorang bapa boleh membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar belas ihsan dengan syarat telah mendapat keizinan daripada anaknya.

Huraian Jawapan

Zakat fitrah adalah zakat yang dikenakan pada individu. Seseorang yang telah cukup syarat wajib bayar zakat perlu segera menunaikannya. Kewajipan untuk membayar zakat fitrah tidak meletakkan syarat seseorang itu mestilah seorang dewasa. Syarat wajib zakat fitrah adalah sebagaimana berikut:

1. Islam

2. Waktu (Malam hari raya dan siangnya)

3. Mempunyai kemampuan

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 97-98)

Ini bermakna, seorang kanak-kanak yang mencukupi syarat-syarat wajib tersebut diwajibkan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat tersebut. Lazimnya, bagi individu yang berkeluarga, orang yang bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah bagi orang yang berada di bawah tanggungannya adalah bapa/suami.

Bagi konteks seorang bapa dan anak, seorang bapa perlu membayar zakat fitrah bagi anaknya sekiranya masih lagi di bawah tanggungannya. Sekiranya anak tersebut telah mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri maka bapa tidak boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan mendapat keizinan daripada anaknya. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie h.99)

Keadaan ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:

أَمَّا مَنْ ‌لَا ‌تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ

Maksudnya:Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu. (Rujuk Asna al-Matalib 388/1)

Oleh kerana itu, seorang kanak-kanak yang mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri termasuk juga dalam perbincangan yang dinyatakan. Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya itu kerana telah terputus tanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut disebabkan dia sudah mampu untuk menjana sumber pendapatan sendiri. Perbahasan ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Zakaria al-Ansari berikut:

لَا تَجِبُ عَلَى الْأَبِ فِطْرَةُ وَلَدٍ لَهُ مَلَكَ قُوتَ يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ فَقَطْ أَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبِهِ وَلَوْ صَغِيرًا لِسُقُوطِ نَفَقَتِهِ عَنْهُ

Maksudnya: Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaja atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 314/3; Asna al-Matalib 388/1)

Bahkan dalam keadaan ini, tidak sah zakat fitrah yang dibayar oleh seorang bapa untuk anaknya yang sudah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 314/3; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie h.99)

Kesimpulan

Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah bagi anaknya yang telah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun masih bersekolah kerana keadaan tersebut menyebabkan terputusnya kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahinya. Oleh itu, bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya tentang kewajipan dirinya itu yang perlu ditunaikan. Namun begitu, seorang bapa boleh membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar belas ihsan dengan syarat telah mendapat keizinan daripadanya anaknya tersebut.

Wallahualam.

Previous ArticleNext Article

Evolusi Pengurusan Zakat di Malaysia: Antara Kedaulatan Negeri dan Keadilan Universal

“Negeri aku, duit zakat aku…”

Ungkapan ini mungkin kedengaran asing, namun itulah realiti “pagar” birokrasi yang wujud dalam sistem pengurusan zakat kita hari ini. Di era digital di mana sempadan geografi semakin pudar, membayar zakat kini hanya di hujung jari melalui aplikasi. Namun, persoalan besarnya: Adakah falsafah zakat untuk merapatkan jurang antara si kaya dan si miskin sudah benar-benar tercapai di peringkat nasional?

Zakat bukan sekadar transaksi untuk menggugurkan kewajipan peribadi, ia adalah mekanisma keadilan sosial. Jika kita masih terperangkap dalam mentaliti kenegerian, kita bimbang roh zakat itu sendiri akan hilang.

1. Konsep Tabung Zakat Nasional

Memandangkan kuasa agama adalah hak mutlak negeri, kita tidak perlu mengusik kedaulatan tersebut. Namun, satu mekanasime penyelarasan seperti Tabung Zakat Nasional perlu dipertimbangkan secara serius.

Negeri-negeri yang mempunyai kutipan melebihi keperluan asnaf tempatan (surplus) boleh menyalurkan sekitar 10% hingga 15% ke tabung pusat ini.

  • Contoh: Lebihan kutipan di pusat bandar yang pesat seperti Selangor atau Kuala Lumpur boleh disalurkan untuk membiayai projek pembangunan asnaf di negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi tetapi kutipan zakatnya rendah, seperti di pedalaman Sabah, Sarawak atau Pahang.

Inisiatif ini wajar dilihat sebagai satu bentuk kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri (Federal-State cooperation). Sebagaimana kita mampu bersinergi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, sewajarnya semangat yang sama dijulang dalam agenda kebajikan asnaf merentas sempadan.

Lebih daripada itu, ini berpotensi menjadi wadah buat Majlis Raja-Raja untuk menzahirkan kekuatan perpaduan ummah di Malaysia. Ia bukan satu cubaan untuk melangkaui bidang kuasa, sebaliknya satu ikhtiar murni untuk membuktikan bahawa di bawah naungan Institusi Diraja, pengurusan zakat kita adalah dinamik, inklusif dan mampu menjadi pelindung kepada setiap jiwa yang memerlukan, tanpa mengira di negeri mana mereka berada.

2. Integrasi Teknologi

Halangan utama agihan yang adil selalunya berpunca daripada data yang tidak seragam. Lihat sahaja kejayaan sistem seperti MyKasih yang menggunakan integrasi MyKad untuk agihan bantuan bersasar. Jika pangkalan data berpusat ini diintegrasikan bersama agensi seperti JPN (untuk pengesahan waris/tanggungan) dan LHDN (untuk pengesahan pendapatan sebenar), status asnaf seseorang boleh disahkan secara real-time di mana-mana sahaja mereka berada.

  • Contoh: Seorang asnaf dari Kedah yang berhijrah ke Johor tidak perlu lagi melalui proses birokrasi untuk memohon bantuan baharu. Data mereka sudah sedia ada dalam sistem nasional, membolehkan bantuan disalurkan tanpa mengira di bumi mana mereka berpijak.
  • Dengan bantuan integrasi data, sistem akan memberi isyarat (red flag) jika pemohon sudah menerima bantuan di negeri lain. Ini memastikan duit zakat tidak dieksploitasi dan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

3. Meruntuhkan Tembok “Negerisme”

Hakikatnya, halangan terbesar bukanlah pada teknologi atau aplikasi, melainkan pada tembok birokrasi apabila setiap negeri cenderung untuk mengutamakan asnaf di dalam sempadan sendiri. Kita akur, itu adalah hak kedaulatan mutlak setiap negeri. Namun, persoalan moral yang perlu kita renungkan: Jika semua pihak memberi alasan ‘dana tidak mencukupi’, adakah kita sanggup membiarkan saudara asnaf di negeri yang lebih daif terus ketinggalan berpuluh tahun dari segi kualiti hidup? Adalah satu ketidakadilan jika kualiti hidup seorang asnaf ditentukan oleh di negeri mana dia bermastautin, sedangkan mereka adalah sebahagian daripada ummah yang satu.

Adalah satu ketidakadilan jika kualiti hidup seorang asnaf ditentukan hanya oleh lokasi geografi; di mana asnaf di satu negeri dibantu sehingga ke tahap keselesaan, manakala asnaf di negeri lain masih bergelut untuk memenuhi keperluan asasi.

Apabila sesebuah negeri bergelut dengan kekangan dana, ia tidak seharusnya menjadi beban negeri itu sendirian. Di sinilah Tabung Zakat Nasional atau mekanisme penyelarasan pusat memainkan peranan iaitu untuk mengimbangi ekosistem zakat.

4. Apa Kata Hukum Syarak? (Isu Pindah Zakat)

Mungkin ada yang ragu, adakah sah zakat dipindahkan ke negeri lain? Mengikut pencerahan hukum yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Al-Kafi #1918)…”

“…sekiranya terdapat lebihan dana zakat setelah diagihkan kepada golongan asnaf di sesebuah negeri ataupun wujudnya sebarang keperluan atau hajat yang difikirkan perlu… maka hukumnya adalah HARUS untuk memindahkannya ke negeri lain.”

Maka, bantuan kepada saudara seagama yang lebih menderita di negeri jiran adalah satu “hajat syarak” yang besar. Halangan sekarang bukanlah agama, tetapi sistem pentadbiran dan kehendak untuk bekerjasama.

Zakat Bukan Perlumbaan KPI

Kita perlu sedar dan sentiasa ingat: Ibadah zakat ini bukan perlumbaan kutipan antara negeri atau persaingan amil/ejen untuk mengejar komisen.Ini adalah perlumbaan untuk memastikan tiada lagi saudara kita yang kelaparan atau kesusahan.

Jawatan amil ini adalah jawatan yang mulia dan diiktiraf oleh Allah SWT. Mereka adalah penggerak yang memudahkan urusan pembayar, memberi kesedaran dan memastikan kutipan zakat terus meningkat saban tahun. Tanpa kegigihan mereka, mungkin banyak potensi zakat yang tidak dapat dikutip untuk membantu asnaf.

Namun jangan sampai semangat ‘memburu kutipan zakat’ itu membuatkan kita terlupa tentang matlamat akhir ibadah ini.

Kami yakin isu penyelarasan ini sebenarnya sudah lama berada dalam radar perbincangan pihak berkuasa zakat. Namun, dalam era digital yang serba pantas ini, kita mengharapkan langkah yang lebih drastik dan bersepadu. Cadangan ini bukanlah untuk menidakkan kuasa negeri yang sedia ada tetapi untuk semoga dapat memperkasakan lagi proses kutipan dan paling utama memastikan keadilan agihan.