Planworth Memperuntukkan Dana Pembiayaan Sebanyak RM500 Juta Untuk Memperkasa PMKS Tempatan

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2022 – Planworth Global Factoring, institusi kewangan bukan bank untuk pemfaktoran dan Rantaian Bekalan Kewangan yang terkemuka dan terbesar telah memperuntukkan sejumlah RM 500 juta untuk membawa penyelesaian kemudahan pemfaktoran dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Dana tersebut bertujuan memperkasa PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang menjalankan urusan Perniagaan ke Perniagaan (B2B) dan Perniagaan ke Kerajaan (B2G) dengan akses ke pembiayaan modal yang selamat dan mudah. 

Sekitar 97.4% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia buat masa kini terdiri daripada PMKS, dan ia juga merupakan penunjuk utama kesihatan ekonomi tempatan. Dengan memahami kesan jangka masa panjang Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 terhadap kebanyakan perniagaan, ramai pakar telah menyarankan pemberian sokongan kewangan yang lebih besar bagi mengukuhkan lagi usaha pemulihan PMKS pasca pandemik – sebuah matlamat yang turut disokong oleh Planworth melalui inisiatif pembiayaan ini. 

Mengenai hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Global Factoring, Dato Andy Kuek berkata, “Visi Planworth adalah untuk memperkasa PMKS tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara kita dengan penyelesaian keberkesanan kos kami yang boleh diperibadikan. Setakat ini kami telah menyalurkan lebih daripada RM1 bilion kepada PMKS tempatan. Berikutan kisah-kisah kejayaan yang telah kami saksikan sendiri, kami kini memperuntukkan lebih dana untuk membantu lebih banyak PMKS dengan keperluan dokumen yang ringkas, polisi yang mesra kredit untuk PMKS, proses kelulusan yang pantas, serta penyaluran dana yang pantas tanpa perlu jaminan.”

Dengan peruntukan sebanyak RM500 juta ini, Planworth akan memperluas lagi penyelesaian pembiayaan setempat mereka yang komprehensif bagi menyediakan Surat Sokongan, Modal Kerja, Pembiayaan PO, dan Pembiayaan Pasca/Pembiayaan Invois (Post Financing/Invoice Financing) untuk memenuhi keperluan perkembangan PMKS pada setiap tahap, serta untuk keperluan pembiayaan perniagaan jangka pendek hujung-ke-hujung. Melalui penyediaan akses bagi pengaliran tunai yang selamat dan lebih pantas, Planworth membolehkan syarikat-syarikat ini memenuhi keperluan kewangan mereka dengan segera serta membiayai operasi kewangan harian mereka. 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada matlamat utama Planworth dalam memperjuangkan perkembangan lanskap perniagaan tempatan dan kewangan, sebagai institusi kewangan pemfaktoran pilihan PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang memerlukan pembiayaan. Planworth merupakan sebuah institusi kewangan yang bereputasi dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan untuk membiayai para kontraktor, penjual, dan pembekal kepada Kerajaan, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan sektor swasta. Kemudahan Pemfaktoran/Pembiayaan Invois Planworth dikecualikan daripada duti setem bermula daripada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023, berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia. 

Dana ini masih terbuka untuk permohonan sehingga penghujung tahun 2022 tetapi tertakluk kepada ketersediaan. Sila layari https://planworthfinance.com/apply-now/ atau imbas Kod QR di bawah:

Mengenai Planworth Global Factoring

Planworth Global Factoring merupakan institusi kewangan bukan bank terbesar yang menyediakan pembiayaan pemfaktoran dan rantaian kewangan serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan. Penarafan kredit kepada Planworth diiktiraf oleh Experian dan CTOS. Syarikat ini menyediakan pelbagai variasi penyelesaian kewangan untuk memperkasa PMKS dan syarikat-syarikat pemula tempatan dengan akses pembiayaan yang cepat dan mudah untuk memacu cita-cita perniagaan mereka.

Planworth merupakan syarikat 100% milik rakyat Malaysia, dan sebahagian daripada Grand Columbia Group yang ditubuhkan pada tahun 1992. Planworth mempunyai pelbagai geran daripada MATRADE dan MDEC, serta mempunyai kerjasama kukuh dengan SME Bank, CEDAR dan Deutsche Factoring Bank. Planworth juga telah memenangi pelbagai anugerah, antaranya SME100 Fast Moving Companies 2021, CTOS Credit Excellence 2021, serta anugerah Singapore SME500 untuk dua tahun berturut-turut daripada 2020 sehingga 2022.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.