JCorp Dan Tiong Nam Meterai Perjanjian Kerjasama Untuk Bangunkan Taman Logistik Teknologi Tinggi Seluas 300 Ekar Di Lembah Teknologi Sedenak, Johor

Johor Bahru, 14 Ogos 2022 –Johor Corporation (JCorp), cabang pelaburan negeri Johor, menerusi anak syarikat milik penuhnya JLand Group Sdn Bhd (JLG), telah menandatangani perjanjian kerjasama awal dengan Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (Tiong Nam), penyedia perkhidmatan logistik serba lengkap dan pemaju hartanah industri, untuk bersama-sama membina dan memajukan taman logistik berasaskan teknologi yang terkini di Lembah Teknologi Sedenak (“Sedenak Technology Valley”). Majlis tandatangan tersebut, yang diadakan di Menara KOMTAR, telah disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Dengan nilai pembangunan kasar (NPK) dianggarkan berjumlah RM2.39 bilion, usaha sama ini akan menguruskan perancangan induk, pembangunan dan promosi pusat logistik dan penggudangan binaan khas ini. Projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima tahun, dengan anggaran 4,000 pekerjaan diwujudkan daripada proses pembangunan, pembinaan dan pengendalian kemudahan.

YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp berkata, “Pembangunan bersama antara JCorp dan Tiong Nam ini telah dikenal pasti sebagai projek logistik induk di Lembah Teknologi Sedenak. Menerusi usaha sama ini, kami berhasrat untuk menjayakan projek perintis ini yang boleh dijadikan contoh bagi Industri Logistik sebagai sebahagian daripada tumpuan pembangunan teras Lembah Teknologi Sedenak dalam industri strategik.”

“Dengan pendekatan ‘Asia untuk Asia’ yang semakin berleluasa di peringkat serantau, JCorp berusaha memanfaatkan kekuatan pertumbuhan rantaian bekalan di rantau ini dengan membangunkan platform logistik bersepadu bagi industri dan perniagaan bertumpukan eksport. Dengan kepentingan yang semakin ketara bagi perdagangan antara rantau di benua Asia, JCorp akan terus memanfaatkan rangkaian rakan industrinya untuk menggalakkan keterhubungan lebih kukuh bagi koridor perdagangan sedia ada,” tambah Datuk Syed.

YBhg Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur JCorp dan Pengarah Urusan Kumpulan JLG berkata, “Sejajar dengan komitmen kami untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai koridor logistik terkemuka bagi rantau ini, sebahagian penting daripada strategi JLG ialah menyediakan penyelesaian logistik dan perindustrian yang cekap untuk pelanggan merapatkan jurang pasaran yang sedia ada. Kami sukacita untuk berganding bahu dengan Tiong Nam dan memanfaatkan kepakaran pasukan kami dalam pembangunan perindustrian untuk menawarkan kemudahan logistik bersepadu dan bertaraf dunia yang dilengkapi dengan ciri-ciri hijau yang lestari.”

“Taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak akan menjadi sebahagian daripada ekosistem bersepadu lebih besar bagi industri serba maju yang bersasar. Berlandaskan kejayaan industri Pusat Data (DC), dengan Fasa 1 hab DC telah menarik pelaburan mencecah RM12.5 bilion, kerjasama degan Tiong Nam dalam pusat tumpuan logistik ini akan terus menggiatkan pertumbuhan Lembah Teknologi Sedenak. Ini merupakan batu loncatan untuk kami terus meningkatkan permintaan pengguna dan menarik minat pelabur. Dalam pada itu, kami berharap untuk berganding bahu dengan peserta industri dan penyedia perkhidmatan yang terkemuka,” tambah Datuk Akmal.

Encik Ong Yoong Nyock, Pengarah Urusan Tiong Nam Logistics Holdings Berhad berkata, “Kami teruja untuk memulakan kerjasama ini, untuk melabur dalam pembangunan dan pemodenan hab logistik dan penggudangan yang terletak di tengah-tengah Johor. Taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak dijangka menghimpunkan peserta industri antarabangsa dan merintis penyelesaian logistik menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan, dengan matlamat untuk mempertingkatkan rantaian bekalan dan pengangkutan di Johor dan peringkat serantau.”

Beliau menambah, “Pengalaman kami menyediakan penyelesaian logistik bersepadu yang lestari, serta hartanah perindustrian dengan pensijilan bangunan hijau akan dimanfaatkan di hab perindustrian yang bakal dibina ini. Melalui penyepaduan automasi logistik gudang dan teknologi pembinaan terkini, kami yakin bahawa projek ini akan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti bagi menyokong aktiviti perdagangan antarabangsa dan tempatan, aktiviti pengeluaran dan penggunaan.”

Dalam langkah yang membabitkan kerjasama rentas industri untuk memacu pertumbuhan serantau bagi sektor logistik, JLG dan Tiong Nam akan bersama-sama merangsang pembangunan dan pelaburan ke dalam taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak. Bidang-bidang tumpuan projek termasuk pengurusan sewa dan kemudahan, penyepaduan sistem logistik 4.0, dan juga perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran peringkat terakhir. Pembangunan lestari berskala besar ini turut menyediakan penyelesaian lestari sedia terbina seperti gudang dan kilang yang dibina mengikut spesifikasi, untuk memudahkan penyewa mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dibina untuk para peserta e-dagang, penyedia logistik pihak ketiga (3PL), penyedia perkhidmatan fret, peruncit dan syarikat perindustrian ringan-sederhana, pembangunan ini menyediakan kemudahan pintar, termasuk robotik dan sistem automasi dan juga infrastruktur berpandukan tenaga untuk menggalakkan operasi berlandaskan kelestarian. Kemudahan yang disediakan termasuk, tetapi tidak terhad kepada, infrastruktur utiliti asas, pengasingan lalu lintas kenderaan, ciri-ciri cekap guna tenaga seperti penjanaan tenaga solar dan lampu LED, ciri keselamatan berbilang peringkat 24 jam dan Internet berkelajuan tinggi.

Previous ArticleNext Article

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian