KPPK Harap Proses Pengambilan Pekerja Asing Guna Platform Digital Sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap pengambilan pekerja asing dapat diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya bagi memudahkan lagi proses berkenaan.

Kementerian turut mengakui proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap serta maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka. 

‘Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat mengelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menambah kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Bahkan, KPPK akan terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara,” jelas Zuraida.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kppk-harap-proses-pengambilan-pekerja-asing-guna-platform-digital-sepenuhnya/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama