Principal Malaysia Terus Teroka Peluang Pelaburan Jangka Panjang Di China

KUALA LUMPUR,19 Ogos (Bernama) — Principal Malaysia terus meneroka peluang pelaburan jangka panjang di China berikutan keyakinan yang semakin tinggi di negara itu di tengah-tengah kelonggaran sekatan COVID-19, aktiviti ekonomi yang meningkat perlahan-lahan dan keyakinan pengguna yang kembali semula. 

Ketua pegawai pelaburan, ekuiti Asia Tenggaranya Patrick Chang berkata skala dan kepelbagaian peluang yang ditawarkan menarik perhatian pelabur dan daripada perspektif jangka panjang, melabur di China masih kekal menarik kerana ia murah, kurang dimiliki dan mempunyai pemangkin bagi penilaian semula. 

“Arah aliran yang sama penting adalah perbezaan dengan corak ekonomi China daripada pasaran lain, di rantau sedang pesat membangun dan juga negara maju — sebagai contoh, inflasi, kerana ia bukan masalah besar, China dapat terus kekal akomodatif dalam dasar monetari dan fiskalnya manakala negara-negara lain di dunia terpaksa mengetatkan dasar monetari masing-masing.

‘’Kami optimis dengan strategi kami untuk menumpukan kepada hasil yang boleh dilihat dan menggalakkan pelabur untuk mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan dalam dana ini dengan pendedahan di China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat dan Eropah mencecah paras tinggi masing-masing pada 9.1 peratus dan 8.9 peratus pada Julai, manakala IHP China hanya pada 2.7 peratus.

Selain itu, ekuiti China terus diniagakan di bawah purata sejarahnya dengan pertumbuhan pendapatan masih kekal kukuh, manakala pasaran telah melalui pembetulan sejak 18 bulan lepas, yang paling lama dalam tempoh 14 tahun sejak 2008, mengatasi tempoh tipikal pasaran lemah sembilan hingga 12 bulan. 

‘’Dengan keyakinan yang tinggi di seluruh China susulan sekatan COVID-19 yang semakin longgar dan peningkatan aktiviti ekonomi serta kembalinya semula keyakinan pengguna, dana berkaitan China Principal boleh mendapat manfaat daripada potensi pertumbuhan di negara tersebut,” katanya. 

Chang berkata Principal memperkenalkan promosi “Invest in China” yang membolehkan pelabur mengambil kesempatan daripada dana berkaitan Chinanya yang memenangi anugerah. 

Dana tersebut termasuklah Principal China Direct Opportunities Fund, Principal Greater China Equity Fund, Principal Islamic Asia Pacific Dynamic Equity Fund, Principal Asia Pacific Dynamic Growth Fund, Principal Asia Pacific Dynamic Mixed Asset Fund dan Principal Asia Pacific Dynamic Income Fund.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/principal-malaysia-terus-teroka-peluang-pelaburan-jangka-panjang-di-china/

Previous ArticleNext Article

Prospek Pusat Data, Tenaga Lonjak Pertumbuhan Kee Ming

KUALA LUMPUR: Kee Ming Group (KM) berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan, disokong rekod buku tender bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026 yang dijangka menjadi pemacu utama perolehan kontrak baharu syarikat.

Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, momentum kemenangan kontrak syarikat kejuruteraan itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan aliran tender semasa.

Penganalisisnya, Thong Kei Jun, mengandaikan kadar kemenangan sejarah syarikat sebanyak 15 peratus bagi perolehan kerja baharu.

“Berdasarkan rekod prestasi, kadar kemenangan sejarah ini berpotensi diterjemahkan kepada tambahan RM250 juta bagi penambahan semula buku pesanan dalam tahun kewangan 2027 (FY27E),” katanya.

Menurut laporan itu, Kee Ming turut berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), sejajar dengan permintaan yang terus meningkat dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Komitmen syarikat dalam sektor yang sedang berkembang pesat itu dibuktikan menerusi kejayaan memperoleh kerja subkontrak bagi pembangunan fasiliti pusat data berskala hiper.

Antara kontrak yang diperoleh ialah kerja subkontrak bernilai RM6.7 juta di Elmina Business Park 1A serta projek bernilai RM21.4 juta di Puncak Alam yang dianugerahkan oleh kontraktor pihak ketiga.

Dari sudut sinergi korporat, penyertaan Solarvest sebagai pemegang saham utama dengan pegangan 23.9 peratus terus memberikan kelebihan daya saing kepada Kee Ming.

Baru-baru ini, syarikat itu menerima surat penganugerahan (LOA) bernilai RM70 juta daripada Solarvest bagi membina fasiliti saling sambungan (IF) untuk ladang solar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kedah.

Kontrak berkenaan meningkatkan baki buku pesanan tertunggak Kee Ming sebanyak 40 peratus kepada RM243.3 juta berbanding RM173.2 juta sebelum ini.

Susulan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pendapatan Kee Ming bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak 18 peratus hingga 29 peratus, sejajar semakan sasaran penambahan buku pesanan kepada antara RM350 juta dan RM470 juta.

Firma itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kee Ming serta menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 21 peratus daripada paras semasa.

— Berita Harian