Pemberian Subsidi Kekalkan Kadar Inflasi Malaysia Di Tahap Rendah – Mustapa

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) — Kadar inflasi di negara ini boleh mencecahkan sehingga 11.4 peratus sekiranya pemberian subsidi tidak dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, langkah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat menerusi pemberian subsidi, bantuan dan insentif membolehkan Malaysia merekodkan kadar inflasi 3.4 pada Julai 2022.

“Kalau tiada bantuan subsidi ini Malaysia boleh merekodkan kadar inflasi pada 11.4 peratus berbanding 3.4 peratus setakat Julai lepas,” katanya pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini, hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mustapa yang membentangkan laporan mengenai pencapaian ‘Keluarga Malaysia Menangani Cabaran Ekonomi’ berkata daripada subsidi berjumlah RM77.7 bilion pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan hampir separuh daripadanya iaitu sebanyak RM38.3 bilion bagi petroleum untuk RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

“Dengan adanya subsidi RM77.7 billion, yang paling tinggi adalah bantuan subsidi bagi petroleum kerana harga RON95 masih pada harga RM2.05 dan diesel berharga RM2.15, walaupun harga di pasaran antarabangsa melebihi harga di negara ini,” katanya.  

Pemberian subsidi lain termasuk minyak masak sebanyak RM4.0 bilion, ayam dan telur (RM1.1 bilion), elektrik, tol dan lain-lain (RM8.2 bilion), Bantuan Keluarga Malaysia (RM8.15 bilion) serta bantuan dan insentif (RM18.1 bilion).

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pemberian-subsidi-kekalkan-kadar-inflasi-malaysia-di-tahap-rendah-mustapa/

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.