TAG Sasar Pertumbuhan Dua Digit Di Pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — The Arnott’s Group (TAG), pengeluar makanan jenama tempatan dan Australia yang digemari ramai seperti Arnott’s, Prego dan Kimball menyasarkan pertumbuhan dua digit untuk tempoh lima tahun akan datang di Asia selaku pasaran yang menempatkan kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia.

Bagi merancakkan pelan pengembangannya sebagai kuasa serantau susulan hab di Asia yang baru dilancarkan di sini, Pengarah Urusan TAG Asia, May Lim berkata rantau ini dijangka menggandakan perbelanjaan makanan tahunannya daripada US$4 trilion (US$1=RM4.485) kepada US$8 trilion menjelang 2030.

“Hab ini mempunyai pasukan kepimpinan terpusat di Kuala Lumpur yang bertanggung jawab untuk menyepadukan operasi di seluruh Asia bagi meneruskan rancangan pertumbuhan kami.

“Kami memilih Kuala Lumpur sebagai hab memandangkan ia terletak pada kedudukan strategik serta sebagai platform yang menjadi kebiasaan untuk ke pasaran Asia, mempunyai bakat berkemahiran serta dasar kerajaan yang menyokong,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran hab itu di sini hari ini.

Lim berkata pada masa ini perniagaan di Asia menyumbang perolehan melebihi RM1 bilion bersamaan satu perempat daripada jumlah perolehan tahunan TAG, manakala perolehan tahunan TAG diunjurkan mencecah RM2.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Hab Asia penting untuk kejayaan TAG pada masa depan. Kami menyasarkan rancangan pertumbuhan tiga peringkat, dan Kuala Lumpur dalam kedudukan teratas untuk disenarai pendek sebagai pusat pengembangan.

“Malaysia ialah hab halal terkemuka di dunia dan kami berhasrat untuk memacu pensijilan halal bagi jenama kami di hab pembuatan baharu ini serta akan dieksport ke seluruh dunia,” katanya.

Rancangan pengembangan tiga peringkat TAG yang dijangka bermula sebelum akhir tahun ini akan melibatkan pelaburan $50 juta dolar Australia dalam hab pembuatan dan pengambilan lebih 200 pekerja bagi pekerjaan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi; hab rantaian bekalan untuk menggabungkan semua perolehan, logistik, kejuruteraan dan pengurusan kawasan; hab penyelidikan dan pembangunan yang menyatukan kilang rintis, pembangunan produk autonomi serta inovasi dan sensori.

Sementara itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapannya berkata pelaburan signifikan daripada TAG serta penubuhan habnya di Asia mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, disokong oleh kemudahan untuk menjalankan perniagaan, infrastruktur yang teguh, ekosistem perniagaan yang rancak dan pekerja dinamik.

“Saya gembira dengan rancangan pengembangan kumpulan ini dalam aktiviti berteknologi tinggi dan bernilai tinggi yang akan mencipta peluang ekonomi yang positif kepada komuniti perniagaan, ekosistem dan rakyat Malaysia, seiring dengan inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional yang mengutamakan teknologi terkini, termaju dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Australia dan Malaysia menikmati hubungan ekonomi dan komersial yang mantap dan berpanjangan dan kami tetap komited untuk membina daya tahan dan menjadi hab global untuk pelaburan yang memberikan impak,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata, ketika ini TAG sedang giat berbincang dengan kerajaan mengenai peluang untuk merancakkan rancangan pengembangannya di ibu negara Malaysia.

“Kuala Lumpur adalah pusat kepada hab serantau kami. Ia merupakan pangkalan pemunggahan utama dan menawarkan akses mudah kepada rangkaian pembekal tempatan yang lebih luas dan terhubung erat dengan pengeluar makanan di seluruh Asia.

“Oleh itu, Kuala Lumpur bersesuaian untuk kami menghasilkan makanan berkualiti, enak dan mencipta detik-detik manis untuk pelanggan di seluruh Asia,” katanya.

Lim berkata kumpulan itu turut berhasrat memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia untuk mendorong automasi dan operasi berteknologi tinggi, seiring dengan Industri 4.0 melalui pemindahan teknologi, meningkatkan kemahiran kakitangan tempatan dan rakan niaga. 

“Kami juga boleh memacu hasil ekonomi yang kukuh menerusi kerjasama dengan pembekal dan pengeluar makanan tempatan. Kami turut berhasrat mewujudkan lebih banyak pekerjaan berteknologi tinggi melalui pemindahan teknologi, latihan amali dan program latihan kemahiran dengan universiti-universiti tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/tag-sasar-pertumbuhan-dua-digit-di-pasaran-asia/

Previous ArticleNext Article

BM GreenTech Perluaskan Penglibatan Dalam Aset Tenaga Boleh Diperbaharui Berskala Utiliti Melalui Pengambilalihan SPV NEFIN

Kuala Lumpur – BM GreenTech Berhad (BM GreenTech) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Plus Xnergy Holding Sdn Bhd (Plus Xnergy), telah memperoleh 100% pegangan ekuiti dalam NEFIN V Power Sdn Bhd (NVP), sebuah syarikat tujuan khas (Special Purpose Vehicle, SPV) yang mempunyai hak untuk membangunkan ladang solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 29.99 MWac di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP).

Loji tenaga NVP dijangka menjana purata 60,000 MWh tenaga solar setahun, sekali gus mengelakkan pelepasan lebih daripada 1.1 juta tan karbon sepanjang tempoh operasi selama 25 tahun.

Pengambilalihan ini akan menambah saluran pendapatan huluan kepada portfolio Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) tenaga boleh diperbaharui (RE) milik BM GreenTech, sekali gus melengkapkan aktiviti perniagaan berasaskan projek sedia ada.

NVP telah memperoleh kontrak daripada pembeli tenaga (offtaker) bagi tenaga boleh diperbaharui yang dijana, sekali gus menyediakan aliran pendapatan berulang yang stabil kepada Plus Xnergy bermula 2027, apabila loji tenaga PV tersebut mula beroperasi.

Pembeli tenaga tersebut terdiri daripada syarikat-syarikat Fortune 500 dalam industri semikonduktor dan makanan yang mempunyai pelaburan besar di Malaysia dan Asia Tenggara serta komited terhadap sasaran penyahkarbonan.

Pengarah Urusan Kumpulan BM GreenTech, Chia Lik Khai, berkata:

“Pengambilalihan ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam strategi pertumbuhan kami untuk merebut peluang yang membolehkan kami bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi serta memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik. Tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti masih berada pada peringkat awal di Malaysia. Dengan memasuki bidang ini sekarang, kami menjadi antara penyedia awal tenaga boleh diperbaharui kepada syarikat korporat dan industri, sekali gus membolehkan kami memanfaatkan potensi pertumbuhan yang besar.”

Pengambilalihan ini turut mengukuhkan portfolio penyelesaian tenaga bersih dan teknologi alam sekitar bersepadu BM GreenTech, selain menyokong transformasi profil G.E.S. (Generation, Efficiency, Storage) Plus Xnergy ke arah menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui bersepadu.

Pada separuh pertama tahun 2026 sahaja, Plus Xnergy telah mengkomersialkan salah satu projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) penggunaan sendiri terbesar di Malaysia, iaitu BESS berkapasiti 20 MWh untuk sebuah kilang pembuatan makanan di Perak.

Syarikat itu juga kini sedang melaksanakan projek solar 36 MWp dan BESS 45 MWh di KLIA Aeropolis.

Pembelian NVP akan dibiayai melalui dana dalaman dan dilaksanakan menerusi dua Perjanjian Jual Beli (SPA).

SPA pertama melibatkan pembelian 900,000 saham biasa daripada NEFIN Energy (Malaysia) Sdn Bhd, yang mewakili 90% daripada jumlah modal saham terbitan dan berbayar NVP, pada harga RM3.24 juta.

Baki 100,000 saham biasa akan dibeli daripada NEFINCO (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM360,000.

Bayaran pembelian akan dibuat dalam dua peringkat, iaitu 50% semasa SPA dimeterai dan bakinya selepas transaksi selesai.

Selepas pengambilalihan ini, Plus Xnergy akan memperluaskan penglibatannya dalam projek NVP dengan beralih daripada peranan sedia ada sebagai kontraktor EPC kepada pemilik dan pengendali jangka panjang aset solar berskala utiliti tersebut.

Bagi FY2026, portfolio Develop, Build, Own and Operate (DBOO) BM GreenTech merangkumi 15 aset dengan jumlah kapasiti 29 MWp. Daripada jumlah itu, 25 MWp pegangan kasar merentasi sembilan aset dimiliki menerusi usaha sama Plus Xnergy.

Pengambilalihan loji tenaga NVP ini akan meningkatkan lagi saluran aset tenaga boleh diperbaharui yang menjana pendapatan berulang kepada 74 MWp.

Sehingga Jun 2026, portfolio Plus Xnergy di seluruh negara merangkumi lebih 510 MWp kapasiti solar yang disambungkan ke grid, yang telah menjana lebih 3,579 GWh tenaga, selain mempunyai 100 MWh projek BESS yang telah siap dan sedang dilaksanakan.