Domino’s Pizza Malaysia Bakal Sertai Rangkaian Domino’s Antarabangsa Terbesar

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Domino’s Pizza Malaysia bakal menjadi sebahagian daripada rangkaian terbesar Domino’s di luar Amerika Syarikat (AS) menerusi cadangan pengambilalihan oleh Domino’s Pizza Enterprises Ltd (DPE).

DPE adalah kumpulan yang berpangkalan di Australia dan mengendalikan lebih 3,400 cawangan restoran Domino’s di sepuluh pasaran di seluruh dunia.

Kumpulan itu telah memeterai perjanjian mengikat dengan Mikenwill (M) Sdn Bhd, yang memiliki 100 peratus Dommal Food Services Sdn Bhd, pemegang francais induk di Malaysia; dan Impress Foods Pte Ltd, yang memiliki 100 peratus Domino’s Pizza di Singapura dan 65 peratus Domino’s Pizza di Kemboja; serta pemegang saham minoriti di Kemboja bagi baki 35 peratus pegangan.

“Ini akan menyaksikan DPE mengambil alih 100 peratus daripada perniagaan Domino’s Pizza di Malaysia, Singapura dan Kemboja, terdiri daripada 287 restoran korporat di pasaran terbabit.

“Perjanjian mengikat itu melibatkan pengambilalihan restoran korporat dan hak francais yang dipegang oleh Mikenwill (M) Sdn Bhd dan Impress Foods Pte Ltd. Pengambilalihan itu dijangka selesai pada akhir 2022,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Domino’s Pizza Malaysia, Singapura, dan Kemboja Ba U Shan-Ting berkata sejajar dengan pengambilalihan tersebut, syarikat tersebut menyasar untuk mengembangkan bilangan restorannya kepada lebih daripada 600 bagi tempoh jangka panjang, menjadikannya rantaian piza terbesar di tiga negara tersebut. 

Domino’s Pizza Malaysia merupakan pasaran Domino’s terbesar di Asia Tenggara, diuruskan oleh Dommal Food Services Sdn Bhd dengan 240 cawangan restoran di negara ini manakala Impress Foods Pte Ltd menguruskan pasaran di Singapura dan Kemboja masing-masing dengan 38 dan sembilan cawangan restoran.

“Pengambilalihan strategik terbaharu DPE di Malaysia, Singapura dan Kemboja itu adalah sejajar dengan pelan pengembangan berterusannya, terutamanya di Asia.

“Rekod prestasi membanggakan DPE dicerminkan menerusi pasaran antarabangsanya yang meluas di 13 negara di seluruh dunia yang bermula di pasaran Australia, dengan Taiwan menjadi tambahan terbaharu dalam portfolionya.

“DPE menyasar membuka 3,000 restoran Domino’s di Asia menjelang 2033,” kata syarikat itu. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/dominos-pizza-malaysia-bakal-sertai-rangkaian-dominos-antarabangsa-terbesar/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.