Malaysia Airlines Lancar Penerbangan Terus Untuk Laluan Kota Kinabalu-Singapura

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — Malaysia Airlines mencapai satu lagi kejayaan dalam pelan pengembangan rangkaiannya dengan memperkenalkan laluan penerbangan terus yang baharu antara Kota Kinabalu dan Singapura, yang memulakan operasi semalam.

Penerbangan pertama itu diraikan dengan majlis sambutan untuk penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) pada 12:25 tengah hari waktu tempatan melalui penerbangan MH648 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN).

Kapten Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, yang mengendalikan Malaysia Airlines, berkata laluan itu akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan fleksibiliti untuk penumpang yang menuju ke Singapura berikutan syarikat penerbangan itu turut menawarkan penerbangan terus ke negara tersebut melalui hab utamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching. 

“Dengan perkhidmatan baharu ini, penumpang dari Singapura boleh dihubungkan dengan lancar ke negeri di bawah bayu itu untuk menemui tarikan indah di Sabah dan malah mengelilingi sekitar negeri dari BKI melalui syarikat penerbangan sekutu Firefly dan MASwings.

“Kami berharap dapat meningkatkan lagi pertumbuhan kami, memperkenalkan laluan strategik baharu dan meningkatkan kapasiti kami untuk mencapai lebih 70 peratus daripada kapasiti kami sebelum COVID-19 menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman berkata sejak pembukaan semula laluan SIN-BKI pada April, laluan itu mencatatkan aliran meningkat dengan 1,248 ketibaan pada Mei dan 3,051 ketibaan pada Jun. 

“Dengan tambahan Malaysia Airlines, kami yakin trend ini akan berterusan,” katanya.

Malaysia Airlines akan melaksanakan penerbangan terus tiga kali seminggu pada Isnin, Khamis dan Sabtu, berlepas dari BKI-SIN melalui MH647 pada 07:00 pagi dan berlepas dari SIN-BKI melalui MH648 pada 10:00 pagi. 

Penerbangan akan dikendalikan oleh pesawat B737-800, dilengkapi dengan 160 tempat duduk, terdiri daripada 16 tempat duduk untuk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk untuk kelas ekonomi.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-airlines-lancar-penerbangan-terus-untuk-laluan-kota-kinabalu-singapura/

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian