Kerajaan Akan Laksana Pembaharuan Sistem Pembekalan Elektrik Negara – PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Kerajaan akan melaksanakan program dan pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara sebagai langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata kerajaan meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat (MW) bagi sumber solar. 

Katanya kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan. 

Selain itu, katanya untuk penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar, pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata ia juga untuk penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA), mulai suku keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW. 

“Dengan persetujuan ini, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara,” kata Ismail Sabri. 

Katanya kerajaan akan turut melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

“Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca,” kata Perdana Menteri. 

Beliau berkata kerajaan turut menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin. 

Sehubungan itu, katanya Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku keempat 2022 untuk memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan. 

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara. 

“Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara,” kata Ismail Sabri. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kerajaan-akan-laksana-pembaharuan-sistem-pembekalan-elektrik-negara-pm/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA