Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

KOTA KINABALU, 31 Ogos (Bernama) — Pelaburan dalam pembangunan wanita boleh mewujudkan kesan beriak yang membawa kepada pelbagai manfaat bukan sahaja bagi individu tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara, kata pengarah University of California bagi pengembangan kepelbagaian dan kesaksamaan jantina dalam teknologi, Jill Finlayson.

Beliau berkata pelaburan dalam memperkasakan keusahawanan wanita akan memberikan pulangan yang bermakna kerana mereka akan melabur semula kepada keluarga mereka, anak-anak dan pembangunan masyarakat menerusi sumbangan perniagaan. 

“Ada banyak data yang menunjukkan apabila anda melabur membantu golongan wanita, mereka akan melabur semula kepada anak-anak mereka dan juga masyarakat. Mereka akan menggunakan wang itu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka, membantu masyarakat dan generasi seterusnya. 

“Tanpa akses kepada teknologi, pendidikan, maklumat dan literasi kewangan, mereka tidak dapat menonjolkan keupayaan mereka untuk melakukan apa yang mereka boleh lakukan untuk menambah baik kehidupan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Finlayson berkata demikian semasa ditemui selepas menjadi penceramah pada forum bertajuk “Women, Technology and Entrepreneurship Scaling Up!” anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, di sini.

Program itu yang diadakan pada 27 Ogos, 2022 dianjurkan secara kerjasama dengan Persatuan Usahawan dan Iktisas Wanita Sabah (SWEPA).

Menurutnya, bantuan kewangan menerusi pinjaman mikro juga boleh menjadi pembawa perubahan dalam perniagaan selain usahawan wanita juga mahir dalam menguruskan syarikat serta meningkatkan keuntungan. 

“Suatu yang mengujakan melihat wanita menggunakan pengetahuan, kepakaran dan kefahaman mereka untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri,” katanya.

Finlayson juga melihat persatuan keusahawan wanita memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai peserta termasuk golongan muda untuk meneroka dalam bidang keusahawanan dengan membantu mereka memulakan perniagaan dan memberi peluang kedua untuk mengembangkan portfolio mereka. 

Beliau berkata dalam usaha memacu perniagaan dan ekonomi digital, teknologi akan membantu usahawan menjadi lebih cekap dan produktif. 

Oleh itu, usahawan wanita perlu belajar kemahiran berkaitan teknologi dan internet untuk digunakan dengan lebih selesa dan berkesan dalam perniagaan mereka masing-masing, katanya. 

Bagaimanapun, Finlayson menegaskan bahawa prasarana mampan amat diperlukan untuk memastikan teknologi dan kemudahan internet disediakan dan boleh diakses secara sama rata kepada setiap orang.  

Sementara itu, Presiden SWEPA Sitti Bahaya Damsal berkata program itu memberikan kefahaman kepada ahlinya untuk mengetahui dan menerima pakai idea-idea baharu menerusi perkongsian pengalaman dan perspektif berkaitan dengan keusahawanan. 

“Sesi ini membantu ahli-ahli SWEPA mengubah perspektif mereka berdasarkan kepada situasi semasa kerana pendekatan perniagaan pada hari ini adalah berbeza, terutamanya selepas pandemik COVID-19. 

“Program itu juga membolehkan ahli-ahli SWEPA bertukar-tukar pandangan dan menanyakan soalan secara terus kepada penceramah berkaitan dengan teknologi dalam keusahawan dan perniagaan,” katanya. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pelaburan-bantu-wanita-boleh-wujud-kesan-beriak-bawa-pelbagai-manfaat/

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.