KPPK Terus Bela Nasib Pekebun Kecil Daripada Propaganda Anti Minyak Sawit – Zuraida

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertekad untuk terus berjuang melawan kempen anti minyak sawit demi memastikan nasib pekebun kecil terus terbela.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kementerian itu juga bertekad untuk memastikan punca rezeki pekebun kecil tidak akan disekat oleh propaganda anti minyak sawit oleh sesetengah blok barat.

“Kami akan terus mendidik masyarakat berhubung salah faham mengenai minyak sawit menerusi “Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”

“Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit berjuang bersama kami mempertahankan komoditi utama negara kita ini dengan semangat “Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam semangat meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65, KPPK telah menerbitkan klip video berdurasi tiga minit bertajuk ‘Tanah Ini Milik Kita’  yang memaparkan kisah pengorbanan keluarga pekebun kecil memanfaatkan tanah mereka dengan menanam kelapa sawit.

“Video ini juga bertujuan untuk menutup ruang jentera propaganda Barat, khususnya yang melemparkan dakwaan bahawa sektor perladangan sawit di negara kita dilakukan dengan memusnahkan banyak kawasan hutan dalam negara.

“Melalui hasil karya ini, kita menyaksikan kisah tiga sekeluarga, bagaimana si ayah, ibu dan anak perempuan mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit melalui prosedur yang betul, bukannya secara penerokaan haram seperti yang kerap dimomok-momokkan melalui kempen anti minyak sawit.

“Ini mengukuhkan lagi justifikasi bahawa setiap pekebun di dunia ini mempunyai hak untuk bertani, mengusahakan tanaman apa pun demi kelangsungan hidup – satu jaminan di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Asasi Petani dan Rakyat Yang Bekerja di Luar Bandar,” katanya.

Malaysia mempunyai lebih 461,303 pekebun kecil dan tambahan 1.8 juta individu lagi yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya daripada rezeki yang dijana daripada hasil sawit.

Zuraida berkata kerajaan Malaysia pada 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak boleh melebihi 6.5 juta hektar.

“Pada 2022, Malaysia telah membangunkan seluas 5.8 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit – sama ada oleh pekebun kecil atau syarikat perladangan besar – dengan baki 700,000 hektar lagi yang belum lagi diterokai bagi penanaman sawit,” katanya.

Walaupun sektor perladangan sering dianggap sebagai punca utama kemusnahan hutan, perlu ditekankan bahawa pada 2019, sebanyak 24 peratus daripada keluasan tanah digunakan oleh sektor penternakan, manakala perladangan pula hanya sebanyak 29 peratus, katanya.

Daripada penebangan pokok untuk laluan kepada 29 peratus keluasan ladang itu pula, perlu ditegaskan bahawa tanaman yang paling banyak menyumbang kepada pemusnahan hutan adalah kacang soya iaitu  (19 peratus keluasan) diikuti jagung (11 peratus), manakala kelapa sawit hanya lapan peratus, sawah padi (enam peratus) dan tebu (11 peratus).

“Justeru, Malaysia berusaha menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan situasi menang-menang yang akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit secara keseluruhan, walaupun kedua-dua blok perdagangan berkenaan yang juga kuasa ekonomi dunia, kekal menentang keras perdagangan minyak sawit sejak tahun 2003 lagi,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kppk-terus-bela-nasib-pekebun-kecil-daripada-propaganda-anti-minyak-sawit-zuraida/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.