Proton Jual 15,880 Kereta Pada Ogos, Tertinggi Dalam Sembilan Tahun

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd sekali lagi mencatatkan jualan bulanan terbaiknya dengan 15,880 unit (domestik dan eksport) pada Ogos berikutan pemulihan pengeluaran yang berterusan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia mencapai jualan bulanan terbaiknya sejak Julai 2013, dengan jarak 109 bulan, dan kekal fokus mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan volum jualan untuk tahun keempat berturut-turut.

Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Proton berkata ia mencatatkan 87,481 unit berbanding 62,637 unit pada 2021, peningkatan sebanyak 39.7 peratus.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah menyatakan bahawa dengan empat bulan lagi menuju 2022, operasi pengeluaran Proton telah stabil.

“Bekalan komponen kami kini lebih konsisten dan terurus demi memastikan kami dapat menghasilkan sebanyak mungkin kereta. Dengan itu, kami telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan bilangan trak penghantaran lebih 100 peratus menjelang akhir tahun.

“Ini adalah untuk memastikan pengedar kami menerima stok mereka secepat mungkin dan seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan mereka,” katanya.

Proton mengekalkan kedudukan kedua dan mencapai anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.7 peratus untuk Ogos manakala pegangan pasaran tahunan (YTD) meningkat kepada 19.5 peratus.

Jumlah volum industri (TIV) bagi bulan Ogos dianggarkan sebanyak 66,900 unit (36.7 peratus lebih daripada Julai) memandangkan semua jenama automotif giat menyerahkan unit kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa.

Pengeluar kereta itu berkata jualan eksportnya mencapai paras tertinggi hampir 10 tahun dan volum pertumbuhan dijangka meningkat pada lewat tahun ini dengan pelancaran rasmi semula di Afrika Selatan yang dijadualkan pada September.

“Jualan eksport Proton terus mencapai tahap baharu setiap bulan dan membuktikan bagaimana jenama berjaya memenangi pelanggan baharu di luar pasaran domestik,” kata Roslan. “Jualan eksport adalah penting bagi syarikat mencapai matlamat jangka panjangnya dan membantu meningkatkan imbangan perdagangan untuk Malaysia sambil mempamerkan kualiti dan kepintaran pembekal Malaysia”.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/proton-jual-15880-kereta-pada-ogos-tertinggi-dalam-sembilan-tahun/

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian